Sukan

Beza di SNBJ ialah tiada TMJ

Isu rumput di SNBJ menjadi bahan bualan penonton bola sepak.

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Rumput baharu jenis Zeon Zoysia yang ditanam di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sepatutnya diberi lebih masa untuk akar menjadi lebih kuat sebelum boleh digunakan.

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyuarakan pendapat itu selepas kualiti permukaan padang di SNBJ dipersoal peminat bola sepak tanah air, susulan perlawanan pertama Pestabola Merdeka, malam tadi.

Rumput di gelanggang tersebut dilihat kerap kali tercabut dan merencatkan mutu permainan perlawanan antara Malaysia menentang India yang menyaksikan Harimau Malaya menewaskan lawannya itu 4-2.

Menurut TMJ yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), rumput di SNBJ itu patut diberi lebih masa sama sekurang-kurangnya dua ke tiga bulan seperti padang Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Bagaimanapun, beliau berkata, pasukan kebangsaan mahu menggunakan rumput baharu itu secepat mungkin.

“Itu atas keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pihak stadium.

“Kalau saya, saya beri lebih masa. Sekurang-kurangnya lagi dua atau tiga bulan. Kontraktor ini kontraktor yang sama buat padang JDT,” katanya dalam ciapan di platform X, malam tadi.

Dalam ciapan berasingan, TMJ menegaskan telah memaklumkan kepada semua pihak semasa majlis perasmian rumput baharu itu bahawa akarnya masih belum kuat.

Malah, beliau juga telah memberitahu bahawa padang SNBJ itu mungkin akan terkopak semasa perlawanan, malam tadi.

“Ini adalah produk yang terbukti tetapi kena jaga betul-betul.

“Tiada beza. Rumput sama, kontraktor sama. Beza dia di SNBJ tak ada TMJ di situ, itu aja.

“FAM kalau nak pakai SSI cakap, saya siapkan,” katanya. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button