Dunia

Biden undur diri dari pemilihan semula Presiden AS

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengumumkan akan berundur daripada persaingan pemilihan semula selepas desakan semakin meningkat dalam Parti Demokratnya sendiri, semalam.

Pengunduran Biden sekali gus membuka lembaran baharu Pemilihan Presiden AS selepas beliau menyatakan sokongan kepada Naib Presiden, Kamala Harris untuk mengantikannya sebagai calon parti itu menentang calon Republikan Donald Trump.

Biden, 81, dalam catatan di X berkata, beliau akan kekal dalam peranannya sebagai Presiden dan Ketua Komander sehingga tempohnya berakhir pada Januari 2025.

Beliau tidak pernah dilihat di khalayak ramai sejak diuji positif Covid-19 minggu lalu dan mengasingkan diri di rumahnya di Pantai Rehoboth, Delaware.

“Walaupun sudah menjadi hasrat saya untuk dipilih semula, saya percaya adalah demi kepentingan terbaik parti saya dan negara untuk saya berundur dan menumpukan perhatian semata-mata untuk memenuhi tugas saya sebagai Presiden untuk baki penggal saya,” tulis Biden.

Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Demokrat, Jaime Harrison berkata, rakyat AS akan mendengar daripada parti itu mengenai langkah seterusnya dan laluan ke hadapan untuk proses penamaan calon tidak lama lagi.

Ia adalah kali pertama dalam lebih setengah abad seorang penyandang Presiden AS melepaskan pencalonan partinya.

Kempen Biden berada di hujung tanduk sejak perdebatan pada 27 Jun menentang bekas Presiden Trump, 78, di mana Biden dilihat kadang-kala bergelut.

Desakan dari dalam partinya semakin hangat sejak minggu lalu dengan 36 anggota Kongres Demokrat secara terbuka menyeru beliau untuk menamatkan kempennya.

Penggubal undang-undang berkata, mereka khuatir beliau boleh merugikan mereka bukan sahaja White House, tetapi juga peluang untuk mengawal mana-mana Dewan Kongres tahun depan.

Harris, 59, akan menjadi wanita kulit hitam pertama yang bertanding atas tiket parti utama dalam sejarah AS.

Tidak jelas sama ada anggota Demokrat kanan lain akan mencabar Harris untuk pencalonan parti atau sama ada parti itu sendiri akan memilih untuk membuka medan pencalonan.

Sementara itu, Kamala Harris mengucapkan terima kasih atas sokongan Joe Biden terhadap pencalonan beliau sebagai wakil Demokrat dalam pemilihan presiden.

Dalam catatan di akaun platform X miliknya, Harris turut berkongsi beberapa kisah sepanjang mengenali Biden.

Harris menarik perhatian Biden sebagai pemimpin yang berpegang kepada kejujuran dan integriti.

Biden disifatkan sebagai individu yang mempunyai komitmen tinggi terhadap kepercayaan dan keluarganya.

Harris turut berterima kasih kepada Biden atas tugas yang dilaksanakan sebelum ini.

Beliau turut komited mahu menyatukan semula Demokrat dan menang dalam persaingan presiden kali ini.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button