BN tidak tolak wujud kerjasama strategik bentuk kerajaan campuran
BAGAN DATUK, Nov 7 — Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan akan wujud kerjasama antara mana-mana pihak yang dijangka amat strategik untuk menentukan kestabilan politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, kerjasama itu juga sejajar dengan hasrat Barisan Nasional (BN) untuk memperolehi majoriti melebihi dua pertiga di Dewan Rakyat sekiranya sebarang kerjasama pintar ini dijalin dengan mana-mana pihak.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan walaupun keputusan parti sudah diketahui umum tetapi hak untuk melantik Perdana Menteri adalah tetap tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 43 (2)(b) Perlembagaan Malaysia.
Menurut Perkara itu, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.
“Dalam hal ini, parti sentiasa hormati sesiapa pun yang mahu diketengahka. Kita harus akur kepada perkara yang termaktub dalam Perlembagaan yang mana hak mutlak perlantikan itu adalah Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada majlis perjumpaan media di kediamannya, di sini.
Beliau mengulas mengenai dakwaan akan mewujudkan kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRU15 sekaligus membentuk kerajaan baharu bersama.
Tanpa menyebutkan mana-mana parti yang akan membentuk kerajaan campuran, calon Parlimen Bagan Datuk itu bagaimanapun menjelaskan semuanya akan terjawab selepas 19 November ini.