Bonus penjawat awam tidak akan dikenakan cukai – Anwar
Keputusan dibuat atas pertimbangan bahawa bonus penjawat awam adalah tidak tinggi dan tidak wajar dikenakan cukai.

KUCHING, Jan 20 — Berita baik buat kakitangan awam di seluruh negara apabila pemberian bonus tidak akan dikenakan cukai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan keputusan dibuat atas pertimbangan bahawa bonus penjawat awam adalah tidak tinggi dan tidak wajar dikenakan cukai.
“Saya fikir munasabah kerana bonus itu tidak tinggi.
“Jadi oleh itu bonus akan dikecualikan daripada cukai dan ini terpakai kepada semua pernjawat awam di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca Mesyuarat Majlis Tindakan pelaksanaan MA63 di Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Cadangan pengecualian cukai ini diusulkan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam pertemuan kedua-dua pemimpin ini semalam.
Jelas Anwar, walaupun ia dicadangkan untuk Sarawak tetapi keputusan itu terpakai untuk semua penjawat awam di negara ini.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat menyifafkan pengecualian cukai ke atas bonus atau bantuan khas penjawat awam sebagai munasabah.
Malah, pengecualian itu tidak aman menjejaskan hasil atau sasaran kutipan cukai oleh kerajaan.
“Ceupacs menyambut baik pengumuman Perdana Menteri untuk mengecualikan cukai ke atas pemberian bonus atau bantuan khas kewangan kepada kakitangan awam di semua negeri.
“Kebanyakan jumlah bonus diterima penjawat awam negeri termasuk Persekutuan tidak tinggi iaitu purata sekitar RM700 sehingga RM2,000 setiap seorang. Sekiranya jumlah tersebut dikecualikan daripada cukai pendapatan, ia tidak menjejaskan hasil atau sasaran kutipan cukai oleh kerajaan.
“Bahkan Cuepacs sendiri difahamkan bahawa kutipan cukai yang berjaya dikutip oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri telah berjaya melebihi sasaran ditetapkan pada 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, bonus yang diterima itu juga sebenarnya bersifat bantuan khas yang diberikan oleh kerajaan negeri bagi memberi sedikit penghargaan serta meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh penjawat awam.
“Terdapat juga kerajaan negeri yang membuat bayaran secara berperingkat mengikut fasa dan tidak berbentuk sekali gus.
“Adalah tidak wajar jika ia tetap dikenakan cukai pendapatan memandangkan nilainya yang tidak begitu tinggi dan bersifat untuk membantu warga penjawat awam.