Sukan

Boy tekad bawa pulang pingat emas acara recurve 15 tahun ke bawah MSSM

DILETAKKAN sebagai peserta bukan pilihan sempena Pertandingan Memanah Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya (MSSWP) bagi acara recurve 15 tahun ke bawah, Muhammad Afza bin Mohd Amir Khusairi, 13 tahun mengejutkan 48 orang peserta lain dalam kategori yang sama apabila beliau telah diumumkan sebagai pemanah lelaki terbaik bagi kategori tersebut sempena temasya yang telah berlangsung dari 16 Julai hingga 19 Julai lalu.

Beliau yang sinonim dengan panggilan Boy telah berjaya mengutip mata keseluruhan kejohanan hampir 1,200 mata apabila memenangi pingat perak acara 60 meter, pingat emas acara 40 meter, pingat emas acara 30 meter, pingat emas acara Olympic Round (OR) dan tempat kedua (perak) acara beregu campuran.

Boy (hujung kanan) ketika dalam saingan

Beliau yang kini menuntut di tingkatan satu Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) turut memaklumkan rasa terkejut dan tidak menyangka dengan keputusan tersebut memandangkan ini merupakan kali pertama beliau menyertai acara bagi kategori 15 tahun ke bawah.

Boy dalam pada itu turut menanam keazaman untuk memberikan saingan sengit kepada para peserta Pertandingan Memanah Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2024 bagi kategori 15 tahun ke bawah yang akan berlangsung di Johor pada bulan September nanti.

Anak ketiga daripada empat orang adik beradik ini turut bertekad untuk membawa pulang pingat emas sempena kejohanan berkenaan sekaligus mengimpikan terpilih sebagai atlet pelapis yang akan mewakili negara suatu hari nanti.

Artikel Berkaitan

Back to top button