Berita

Budak 5 tahun maut, motosikal dinaiki bersama 3 individu terbabas masuk parit

Kejadian berlaku selepas motosikal itu dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta.

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut apabila motosikal dinaiki bersama tiga individu lain terbabas ke parit selepas dipercayai dilanggar sebuah kereta di Jalan Alor Pongsu, Kampung Matang Jelutong dekat Bagan Serai, Perak, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai digegaskan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 9.41 malam.

“Kejadian membabitkan sebuah kereta Proton Persona dipandu seorang lelaki telah melanggar belakang motosikal ditunggang seorang wanita berusia 32 tahun berserta tiga pemboncengnya menyebabkan motosikal itu terbabas memasuki parit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati tiga mangsa telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Parit Buntar, manakala wanita berkenaan dibawa oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke hospital sama.

“Kanak-kanak perempuan itu disahkan meninggal dunia di hospital manakala seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki tujuh tahun cedera,” katanya.

Sabarodzi berkata operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada 10.10 malam. — Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button