(VIDEO) Budak 6 tahun nekad lari rumah tak tahan didera, polis tahan bapa kandung dan ibu tiri di Jempol
Budak berkenaan menceritakan kisahnya didera kepada guru sebelum laporan polis dibuat

JEMPOL 14 Sept – Polis menahan suami isteri yang dipercayai mendera anak mereka yang berusia enam tahun sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pasangan itu ditahan di daerah ini, susulan aduan oleh orang awam pada 2.30 petang semalam.
Katanya, berdasarkan laporan, kanak-kanak lelaki itu didakwa melarikan diri dari rumahnya dengan badan dipenuhi luka.
View this post on Instagram
“Siasatan awal mendapati mangsa sudah didera sejak Mac lalu hingga bertindak keluar dari rumahnya.
“Dia dipercayai dipukul ibu tiri berusia 31 tahun dan bapa kandung berumur 27 tahun dengan menggunakan tangan dan rotan selain senduk kayu, malah turut ditendang.
“Pemeriksaan terhadap mangsa mendapati terdapat banyak kesan parut dan luka di seluruh badan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Hoo berkata, mangsa anak sulung daripada empat beradik dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk rawatan.
Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak -Kanak 2001.
Sementara itu, video rakaman kanak-kanak berkenaan menceritakan kejadian menimpa dirinya kepada guru turut tular di laman sosial sehingga mendapat kecaman warganet.
Dalam video berkenaan, kanak-kanak itu turut menceritakan hanya diberi makan nasi berlaukkan garam, cili dan serbuk hitam semata-mata.
Dia juga difahamkan pernah dirotan hanya gara-gara mengambil burger yang dibeli oleh bapanya, sedangkan pada ketika itu dirinya sedang menahan lapar.
Kanak-kanak itu seterusnya nekad melarikan diri melalui pintu dapur untuk ke rumah gurunya dan menceritakan ibu tiri dan bapanya kerap bergaduh.
Lebih menyedihkan, anak kecil itu juga memberitahu bahawa bapanya pernah bertindak kejam dengan menghempas dirinya ke lantai hingga mendatangkan kecederaan kepadanya.- Xklusif