Berita

Budak 8 tahun maut dihempap dinding konkrit di Baling

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tawar, dekat sini

BALING 13 Feb – Seorang budak lelaki berusia lapan tahun maut dipercayai akibat dihempap dinding konkrit yang baru dibina di belakang dapur rumahnya di Kampung Padang Lalang Besah, Mukim Tawar, Kuala Ketil, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tawar, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12 tengahari semalam daripada pegawai perubatan klinik berkenaan berhubung kematian kanak-kanak terbabit.

Beliau berkata, bapa mangsa mengetahui kejadian menimpa anaknya itu selepas dihubungi isterinya dan memaklumkan anak mereka dihempap dinding konkrit di kawasan belakang dapur rumah mereka yang baru dibina.

“Ketika kejadian, bapa mangsa yang berusia 39 tahun sedang bekerja di sebuah kilang di sini manakala ibu kanak-kanak itu sedang memasak di dapur.

“Terdahulu, ibu kanak-kanak lelaki itu sudah beberapa kali memberi amaran dan menasihatkan dua anaknya supaya tidak bermain di sekitar kawasan pembinaan tambahan ruang dapur yang sedang dibina oleh bapa mereka.

“Malah ibu mereka juga menyuruh mangsa dan adiknya yang berusia empat tahun masuk ke dalam rumah namun tidak mengendahkannya dan bermain seperti biasa di sekitar lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shamsudin berkata, tidak lama kemudian ibunya kemudian terdengar bunyi kuat kira-kira jam 10.30 pagi di ruangan tempat pembinaan dapur itu dan mendapati seluruh badan anaknya iaitu mangsa dihempap dinding konkrit menyebabkan pendarahan di badannya.

Katanya, adik mangsa turut ditimpa batu-bata dinding berkenaan namun hanya mengalami cedera ringan sahaja.

“Ibu mangsa kemudian meminta bantuan dari jiran bersebelahan rumah mereka untuk menghantar kedua-dua anaknya itu ke Klinik Kesihatan Tawar.

“Namun, sebaik tiba di klinik berkenaan, doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

“Polis sudah merakam percakapan ibu dan bapa kanak-kanak terbabit untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button