Seorang budak lelaki berusia 15 tahun ditahan selepas ditangkap memandu kereta dengan 475kg beras yang dipercayai diseludup dari Thailand.
Polis turut merampas kereta tersebut, sebuah Proton Persona.
Komander briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata remaja tersebut ditahan di Simpang Tiga Kampung Dangar, Pasir Mas, sekitar jam 8 pagi semalam.
Beliau berkata remaja itu bertindak sebagai penghantar untuk beras bernilai RM1,900 yang dibawa tanpa dokumen yang sah.
“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kes berasingan, Nik Ros Azhan berkata seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan pada jam 11 malam semalam kerana pengedaran dadah selepas dia menyembunyikan dadah di dalam dinding kayu sebuah rumah di Kampung Pak Tuyu Mengabang Telipot, Kuala Terengganu.
“Serbuan itu dijalankan berdasarkan maklumat risikan mengenai pengedaran dadah semasa operasi Op Taring SKY.
“Hasil pemeriksaan, 202 pil Yaba (gabungan methamphetamine dan kafein) bernilai RM3,030 ditemui dalam bungkusan plastik yang disembunyikan di dalam dinding kayu dapur rumah itu,” katanya.
Suspek, yang didapati positif methamphetamine, ditahan dan dibawa ke bahagian narkotik di ibu pejabat polis Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.