Dunia

Budak lelaki maut, ibu cedera ditikam 26 kali dalam serangan anti-Muslim di AS

Kanak-kanak itu yang telah ditikam sebanyak 26 kali, meninggal dunia di hospital, namun wanita berusia 32 tahun itu yang dipercayai ibunya, dijangka selamat

WASHINGTON 17 Okt – Seorang pemilik rumah di Amerika Syarikat (AS) telah didakwa atas tuduhan membunuh dan jenayah kebencian kelmarin selepas dikatakan beberapa kali menikam seorang wanita Muslim dan anak lelakinya yang berusia enam tahun dalam satu serangan yang dikaitkan polis dengan peperangan di Timur Tengah.

Kanak-kanak itu yang telah ditikam sebanyak 26 kali, meninggal dunia di hospital, namun wanita berusia 32 tahun itu yang dipercayai ibunya, dijangka selamat dalam serangan ganas pada Sabtu lepas, menurut kenyataan daripada pejabat syerif daerah Will di Illinois.

“Beberapa detektif dapat mengesan bahawa kedua-dua mangsa dalam serangan kejam itu disasari suspek kerana beragama Islam dan konflik Timur Tengah yang sedang berlaku melibatkan Hamas dan Israel,” menurut kenyataan itu, yang mengesan pembunuhan itu kira-kira 64 kilometer di barat Chicago.

Pejabat syerif tidak memberikan maklumat lanjut atau menjelaskan kerakyatan mangsa, namun pejabat Majlis Hubungan Islam Amerika (CAIR) di Chicago menyatakan kanak-kanak itu warga tempatan keturunan Palestin.

Pihak berkuasa menyatakan wanita itu berjaya menghubungi 911 ketika cuba melawan pemilik rumah yang dinamakan pejabat syerif sebagai Joseph Czuba, 71.

“Beberapa anggota polis mengesan dua mangsa dalam bilik tidur di sebuah rumah.

“Kedua-dua mangsa mempunyai beberapa kesan luka tikaman pada bahagian dada, pinggang dan bahagian atas badan mereka,” menurut kenyataan syerif.

Sebilah pisau bergerigi seperti pisau tentera dengan bilah sepanjang tujuh inci telah ditarik dari perut budak lelaki itu ketika bedah siasat, menurut kenyataan.

Ketika polis tiba mereka menemui Czuba duduk di atas tanah berhampiran dengan laluan pejalan kaki di kediaman itu dengan luka lecetan pada dahinya.

Dia dibawa ke hospital bagi rawatan sebelum didakwa atas tuduhan membunuh, cubaan membunuh dan dua tuduhan jenayah kebencian.

“Dia mengetuk pintu dan cuba mencekik wanita itu, serta menyatakan, ‘kamu orang Islam harus mati’,” Ahmed Rehab, ketua pejabat CAIR di Chicago memberitahu wartawan, memetik teks pesanan ringkas yang dihantar wanita itu kepada bapa budak lelaki itu dari katil hospitalnya.

“Serangan itu merupakan mimpi ngeri terburuk kami,” menurut CAIR dlam satu kenyataan.

Sementara itu di BAITULMAQDIS, AS semalam menghantar kapal bagi membawa keluar rakyatnya dari Tel Aviv ke Cyprus, menurut kedutaan AS.

Kapal berlepas dari pelabuhan Haifa ke Limassol membawa rakyat AS dan anggota keluarga terdekat mereka dengan dokumen perjalanan yang sah, menurut kedutaaan AS dalam amaran keselamatan kelmarin.

Puluhan ribu pemegang pasport AS bermastautin secara haram di wilayah Palestin yang dijajah Israel dan 29 dibunuh dalam serangan Hamas pada 7 Oktober.

Seramai 15 orang lagi hilang, dipercayai antara tebusan yang ditahan oleh Hamas sejak serangan itu.

Kedutaan AS tidak menyatakan jumlah rakyatnya yang dibawa dengan kapal itu namun menyatakan kemasukan akan dilakukan sejajar dengan  ketibaan dan berdasarkan ruangan terhad.

Setiap penumpang menandatangani dokumen yang menetapkan mereka membayar semula kos perjalanan dan hanya dibenarkan untuk membawa satu beg pakaian.

Ia menyatakan beberapa pesawat tempahan akan diatur dari Cyprus untuk perjalanan pulang ke tanah air. – AFP

Artikel Berkaitan

Back to top button