Berita

Budak mangsa keropok beracun meninggal dunia

Kanak-kanak berusia tiga tahun yang makan keropok mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini Ahad lalu, meninggal dunia hari ini, lapor Berita Harian.

Muhammad Akil Syauqi, 3, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), manakala adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, masih dirawat di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, kanak-kanak itu meninggal dunia jam 8.30 pagi tadi di HPP.

Dalam kejadian Ahad lalu, dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun kritikal  selepas makan makanan ringan berupa keropok yang mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini.

Difahamkan lokasi kejadian terletak berhampiran rumah kedua beradik itu terletak kira-kira 50meter dari rumah mereka.

Ibu mereka, Nurain Hasnorizal, 25, yang menyedari anak-anaknya muntah dan menggelupur seperti diserang sawan kemudian membawa mereka ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.

Mereka kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang selepas keadaan kritikal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-Kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan

Back to top button