Buka puasa sambil berpiknik, 5 port ini wajib anda kunjungi
Dengan kos harga barang yang meningkat, mungkin ramai mengambil jalan selamat untuk masak sendiri juadah berbuka berbanding membeli di bazar atau berkunjung ke kedai makan.
KUALA LUMPUR, Mac 31 – Memasuki minggu kedua Ramadan pasti ramai antara kita yang sudah mula buntu mencari lokasi untuk berbuka puasa lebih-lebih lagi yang mahu menjimatkan poket.
Dengan kos harga barang yang meningkat, mungkin ramai mengambil jalan selamat untuk masak sendiri juadah berbuka berbanding membeli di bazar atau berkunjung ke kedai makan.
Jadi, apa kata jika anda cuba berbuka puasa ala piknik bersama keluarga tersayang hujung minggu ini tanpa perlu memikirkan bajet besar untuk berbuka puasa.
Berikut Xklusif senaraikan lokasi sekitar bandar utama seluruh negara yang anda boleh berbuka sambil berpiknik.
1.Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
Gambar-JKKN
Lokasi ini sememangnya menjadi tumpuan ramai untuk bersantai bersama keluarga dan rakan setiap hujung minggu.
Ketika bulan Ramadan pula, Dataran Merdeka sentiasa dibanjiri orang ramai yang datang berbuka puasa berlatar belakangkan panorama indah bangunan bersejarah.
Kawasan lepak yang sangat lapang di padang juga sangat mudah untuk pengunjung memilih port yang best untuk dihamparkan tikar sementara menunggu masuk waktu berbuka puasa.
2. Padang MBSA Dataran Shah Alam
Gambar – NST
Berdekatan dengan Masjid Shah Alam, kawasan lapang tersedia di sini dan mudah untuk anda mencari tempat membeli juadah.
Memang satu destinasi yang lengkap untuk anda berbuka ramai-ramai secara terbuka di sini. Jika tidak sempat masak singgah saja ke bazar Ramadan terdekat terletak di Seksyen 7, Shah Alam.
Setiap hari pada bulan Ramadan, lokasi ini pasti dipenuhi dengan pengunjung yang berkeluarga atau pun pelajar-pelajar universiti berdekatan untuk berbuka puasa beramai-ramai.
Jika berhasrat ke sini, sebaiknya datang lebih awal kerana kawasan letak kereta agak terhad. Selepas berbuka boleh terus ke Masjid Shah Alam untuk menunaikan solat.
3. Dataran Putrajaya
Berbuka puasa di hotel atau restoran yang menyediakan bufet Ramadan ada kalanya perlu mengeluarkan belanja besar terutamanya yang mahu datang bersama keluarga.
Namun, jangan bimbang kerana terdapat alternatif lain untuk anda berbuka puasa dengan suasana cukup meriah dikelilingi bangunan indah serta disajikan pemandangan menarik.
Di Dataran Putrajaya ini juga antara lokasi popular bukan saja dari kawasan sekitar Putrajaya, Cyberjaya dan kawasan berdekatan, malah ramai juga sanggup datang dari Kuala Lumpur dan lokasi lain untuk merasai suasana berbuka di sini.
4. Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1
Gambar – Majlis Bandaraya Kuantan
Buat penduduk sekitar Kuantan, jangan lepaskan peluang untuk merasai kemeriahan berbuka puasa beramai-ramai di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 yang terletak bersebelahan dengan Masjid Negeri (Masjid Sultan Ahmad 1).
Amalan berbuka puasa di padang MBK1 telah bermula sejak dahulu lagi dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini ia sudah menjadi kebiasaan orang Kuantan melihat ahli kerabat diraja Pahang menyertai orang ramai berbuka puasa.
5. Dataran Shahbandar Kuala Terengganu
Gambar – Portal Berita RTM
Penduduk sekitar bandar Kuala Terengganu pula memang bertuah kerana lokasi berbuka puasa secara piknik di sini memang menarik kerana terletak di tepi sungai dan tidak jauh dari pantai.
Dengan berlatar belakang Jambatan Angkat, pengunjung boleh menikmati angin sepoi-sepoi Laut China Selatan, pasti pengalaman berbuka puasa di sini menjadi detik yang sukar dilepaskan.
Sebab itulah, aktiviti berbuka puasa beramai-ramai di sini seakan menjadi kelaziman bagi masyarakat yang tinggal di sekitar Kuala Terengganu setiap kali tibanya Ramadan. – Xklusif