Bukan calang-calang, 3 wanita Malaysia tersenarai dalam Forbes 50 Over 50
Ia sekaligus membuktikan bahawa usia selepas 50 ialah era keemasan baharu
SINGAPURA 17 Jan – Tiga wanita Malaysia tersenarai dalam Forbes 50 Over 50: Asia 2024 yang menampilkan 50 wanita di seluruh Asia Pasifik, membuktikan bahawa usia selepas 50 ialah era keemasan baharu.
Wanita Malaysia yang tersenarai terdiri daripada Pengarah Eksekutif Sekretariat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) Rebecca Fatima Sta Maria, peguam Ambiga Sreenevasan, dan pengarah filem dan pengasas Current Pictures Tunku Mona Riza Tunku Khalid.
Menurut Forbes, wanita tersenarai berasal dari 14 negara dan wilayah membabitkan puluhan sektor pekerjaan yang berpengaruh dalam bidang-bidang termasuk fesyen, farmasi, kewangan dan sebagainya.
Sta Maria, 65, yang dilantik sebagai pengarah eksekutif Sekretariat Apec pada 2019, menjadi wanita pertama yang mengetuai badan penasihat ekonomi antara kerajaan dengan 21 anggota itu.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai timbalan ketua setiausaha, setiausaha agung dan perunding perdagangan utama untuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Sebelum ini, beliau pernah mewakili rantau ini di Forum Ekonomi Dunia dan menjadi pengarah bukan eksekutif sebuah bank.
Sementara itu, Ambiga, 67, peguam terkemuka Malaysia dan peguam bela hak asasi manusia pernah menerima Pingat Ruth Bader Ginsburg dan Anugerah Gandhi Memorial Trust Public Service.
Beliau yang berkelulusan ijazah undang-undang Universiti Exeter, United Kingdom, kini berkhidmat sebagai Presiden Pure Life Society, sebuah rumah kebajikan untuk anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.
Tunku Mona Riza, 57, pula pernah memenangi anugerah Pengarah Harapan di Festival Filem Malaysia 2017 menerusi karyanya “Redha”, filem mengenai cabaran membesarkan kanak-kanak autisme.
Filem itu turut tercalon dalam kategori Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Akademi ke-89 Amerika Syarikat.
Beliau turut mengarahkan “Rain Town”, filem berbahasa Cina pertama Malaysia yang diarahkan oleh pengarah wanita Melayu.
Turut tersenarai dalam senarai Forbes itu, aktivis alam sekitar India berusia 112 tahun, Saalumarada Thimmakka yang sinonim dengan gelaran “Mother of Trees” dan pelakon Indonesia Christine Hakim. – Bernama