Politik

‘Bukan Langkah Dubai, tapi Langkah Chow Kit sebab perbincangan diadakan di KL’ – Sanusi

Langkah itu dirangka berdasarkan kelompongan Akta Antilompat Parti yang digunakan kerajaan MADANI untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen PN

ALOR SETAR 3 Jan – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengesahkan wujud rancangan di pihak Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, langkah itu dirangka berdasarkan kelompongan Akta Antilompat Parti yang digunakan kerajaan MADANI untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen PN.

“Saya rasa apa juga (langkah) yang dibolehkan menerusi Perlembagaan Persekutuan perlu dibenarkan untuk berlaku. Apa-apa yang tidak berperlembagaan perlu dilarang.

“Jika mereka (kerajaan Persekutuan) menganggap sokongan lima Ahli Parlimen PN itu sebagai berperlembagaan berasaskan prinsip demokrasi, sebarang langkah balas juga perlu dianggap sama (berperlembagaan)” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berkata, lompong Akta Antilompat Parti itu dimanfaatkan oleh Kerajaan Perpaduan dan PN hanya mengikut jejak sama.

“Saya rasa ia bukan Langkah Dubai, sebaliknya cuma Langkah Chow Kit sebab perbincangan diadakan di Kuala Lumpur.

“Saya rasa Langkah Dubai itu cuma nak cetuskan kekeliruan, orang pergi Dubai untuk becuti,” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button