Berita

Bukan Melayu boleh jadi PM – Tun Mahathir

Tun Mahathir berkata Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan seseorang PM itu dari bangsa apa.

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri jika majoriti orang Melayu boleh menerima keadaan sedemikian.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, biarpun Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan seseorang Perdana Menteri dari bangsa apa, namun dinamik kaum di Malaysia akan menentukan jawatan utama kerajaan itu diterajui oleh kaum mana.

Kata beliau, keadaan sama juga berlaku di Singapura apabila Perdana Menteri mereka datangnya dari kaum Cina, memandangkan kaum itu adalah majoriti di sana.

“Di Singapura, Perdana Menteri sentiasa terdiri daripada kaum majoriti Cina sejak merdeka. Lee Kuan Yew mengakui pemimpin bukan Cina mungkin menghadapi cabaran untuk mendapat penerimaan di kalangan penduduk yang kebanyakannya Cina.

“Jadi Perdana Menteri Singapura akan sentiasa berbangsa Cina. Pulau Pinang tidak pernah mempunyai Ketua Menteri bukan Cina.

“Memandangkan keseimbangan kaum memihak kepada bukan Melayu. Namun apabila UMNO memiliki bilangan kerusi (Dewan Undangan Negeri) terbanyak di bawah Barisan Nasional (BN), ia memberi laluan kepada GERAKAN,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Beliau mengulas kenyataan dilontarkan vateran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang sebelum ini yang antara lain menyebut bahawa tiada sekatan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.

Kelmarin, Kit Siang juga mengakui mustahil untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri Malaysia, jika tidak mempunyai sokongan sejumlah besar kaum dalam negara, terutama sekali dari orang Melayu.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, di Malaysia, biarpun orang Melayu berpecah dari segi politik, mereka masih membentuk kaum majoriti.

“Sehingga dan melainkan majoriti Melayu merasakan bahawa mereka boleh menerima bukan Melayu sebagai Perdana Menteri, itu adalah status quo ante,” katanya. — Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button