Berita

Cabul perempuan di tandas, wanita Indonesia kekal dijel 4 tahun, denda RM3,000

Kegagalan tertuduh dikenali Ita yang juga tukang cuci membayar denda berkenaan akan membawa kepada pemenjaraan selama 12 bulan

KUALA LUMPUR 2 Jan – Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret sebelum ini, yang menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM3,000 terhadap seorang wanita warga Indonesia kerana mencabul seorang perempuan tempatan di tandas.

Kegagalan tertuduh dikenali Ita yang juga tukang cuci membayar denda berkenaan akan membawa kepada pemenjaraan selama 12 bulan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Fatimah Talib, berkata fakta kes menunjukkan tertuduh mencabul kehormatan dengan menyentuh punggung, kemaluan dan payudara mangsa berusia 29 tahun itu.

Perbuatan itu bukan saja mengaibkan, malah menyebabkan trauma kepada mangsa.

“Mahkamah mengambil kira bahawa perbuatan seperti ini adalah jenayah serius yang menjatuhkan maruah mangsa.

“Mahkamah menimbangkan faktor rayuan, hujahan pihak pendakwaan, keseriusan kesalahan dan kepentingan awam dalam menentukan hukuman ke atas tertuduh.

“Kesalahan tertuduh mengaibkan mangsa dan mahkamah perlu memberi hukuman berbentuk pengajaran supaya tidak diulangi pada masa hadapan.

“Hukuman penjara selama empat tahun dari tarikh tangkap (12 Jun 2023) dan denda RM3,000 adalah setimpal, munasabah serta berpatutan dengan kesalahan dilakukan tertuduh terhadap mangsa,” katanya dalam alasan penghakiman penuh minggu lalu.

Mahkamah Majistret memutuskan hukuman terbabit selepas Ita menukar pengakuan kepada bersalah pada 15 Ogos tahun lalu, namun memfailkan rayuan pada hari sama supaya hukuman diringankan.

Siti Fatimah berkata, hukuman itu selaras dengan Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang mana ia bukan saja memberi pengajaran kepada tertuduh, malah terhadap masyarakat secara amnya supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Beliau berharap hukuman pemenjaraan dan denda memberi pengajaran kepada tertuduh supaya menjadi manusia yang lebih bertanggungjawab pada masa hadapan serta bertaubat atas dosanya yang lalu.

“Sekalipun tertuduh tiada rekod kesalahan, hukuman diputuskan perlu diberikan atas perbuatan jenayah terhadap mangsa.

“Mahkamah juga mengambil kira bahawa tertuduh terkecuali daripada sebatan, maka hukuman terbabit adalah setimpal,” katanya. – Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button