Cadangan PLKN 3.0 Dibangunkan Secara Berfasa Satu Tindakan Proaktif
Cadangan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang dibangunkan secara berfasa merupakan satu tindakan proaktif oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Program ini diperkenalkan untuk memastikan transformasi yang lebih teratur dan berkesan, tanpa mengejutkan para pelatih.
Pendekatan ini diambil dengan teliti Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin yang sedar akan keperluan menangani permasalahan sosial dan kepincangan naluri belia yang tidak dibentuk dengan baik sama ada dari sudut rohani serta jasmani.
Dalam erti kata lain, cadangan memperkenalkan pra-PLKN kepada remaja yang masih bersekolah boleh disifatkan sebagai satu langkah strategik bagi menyediakan pelatih sebenar dengan asas yang kukuh dari pelbagai aspek kehidupan.
Pendedahan Ilmu Kenegaraan
Dalam fasa pra-PLKN, pelatih yang terdiri daripada pelajar sekolah yang menuntut di pelajar tingkatan empat dan kumpulan sasar ini akan didedahkan dengan pelbagai ilmu yang berkait dengan persiapan diri termasuk hal-hal kenegaraan.
Pra-PLKN akan dilaksanakan mengikut modul-modul komprehensif yang berpandukan Program Pembinaan Karakter Generasi Madani (GenMadani) seperti yang telah disusun oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Modul GenMadani merangkumi aktiviti seperti ice-breaking, pembangunan karakter, pembangunan insaniah, tanggungjawab sosial, kajian lapangan, dan silang budaya.
Tumpuan utamanya adalah untuk membina karakter bangsa Malaysia yang beradab, berakhlak dan berintegriti selari dengan hasrat MINDEF untuk persiapkan generasi yang memiliki semangat patriotisme sebelum menjalani latihan asas kelak.
Membentuk Patriotisme dan Disiplin
Selepas menamatkan fasa pra-PLKN, pelatih yang berusia 17 tahun dan ke atas akan menjalani latihan asas pada tahun 2026.
Latihan ini akan berlangsung selama 45 hari di kem-kem askar wataniah dan pelatih akan melihat dunia ketenteraan termasuk cara hidup dan aktiviti anggota tentera yang selama ini sentiasa berjaga bagi menjaga keamanan dan kedaulatan negara.
Dalam fasa ini, pelatih akan mempelajari 30 peratus modul berkait dengan asas kenegaraan dan selebihnya 70 peratus lagi adalah melibatkan asas ketenteraan.
Menariknya tentang PLKN 3.0, para pelatih yang terpilih akan didedahkan dengan cabaran yang dihadapi anggota tentera untuk membina fizikal dan jiwa yang jitu.
Hal ini secara tidak langsung akan memberikan para pelatih tentang pemahaman yang lebih mendalam mengenai peranan penting yang dimainkan oleh tentera dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Selain itu, para pelatih PLKN 3.0 akan didedahkan dengan pelbagai latihan asas yang lain merangkumi aktiviti kesukarelawanan seperti gotong-royong, bantuan bencana dan program kebajikan.
Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda yang semakin pudar malah boleh meningkatkan kesedaran mereka terhadap cabaran yang dihadapi masyarakat.
Pengalaman yang Lebih Meluas
Ujar Mohamed Khaled, PLKN 3.0 tidak hanya terhenti di kem-kem latihan sebaliknya selepas para pelatih menamatkan latihan asas, kumpulan sasar ini boleh diserap ke fasa latihan lanjutan untuk membina kekuatan akar umbi masyarakat.
Fasa lanjutan tersebut akan menawarkan pengalaman yang lebih luas dengan menggunakan modul latihan yang dibangunkan khas untuk anggota angkatan simpanan serta badan sukarelawan yang selama ini aktif menyumbang jasa.
Menerusi kaedah tersebut, negara dijangka mampu membentuk generasi muda yang lebih bertanggungjawab, mempunyai semangat patriotisme yang tinggi serta sentiasa bersedia untuk menjadi orang pertama dalam menghulurkan bantuan.
Untuk menjayakannya dengan sempurna, Mohamed Khaled menekankan bahawa PLKN 3.0 mampu menjadi sebuah program yang baik jika ia mendapat komitmen pelbagai pihak termasuk pelatih, pihak berkuasa sehinggalah masyarakat umum.
Pelaburan Terbaik untuk Masa Depan Negara
PLKN 3.0 bukan sekadar program yang mendedahkan hal-hal kenegaraan dan latihan ketenteraan, sebaliknya ia adalah satu pelaburan negara dalam mewujudkan rakyat yang berintegriti serta mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.
Dengan pendekatan program yang berfasa serta teratur, MINDEF yang turut sama merangka perjalanan PLKN 3.0 ini akan memastikan bahawa pelatih benar-benar memahami dan menghayati setiap nilai yang cuba diterapkan.
Ini termasuk pengembangan kemahiran rohani dan jasmani, yang akan membantu mereka menjadi warganegara yang lebih baik dan bertanggungjawab.
Dengan adanya PLKN 3.0, Malaysia boleh berharap untuk mempunyai rakyat yang lebih faham tentang kenegaraan dan bersedia untuk mempertahankan negara.
Mereka yang menyertai program ini diharapkan akan menjadi individu yang bukan sahaja memiliki semangat cinta akan negara tetapi juga mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang harmoni dan berdaya saing di peringkat global.
PLKN 3.0 sebagai Wadah Pembentukan Sahsiah
Secara keseluruhannya, PLKN 3.0 bukan sahaja menyediakan platform untuk latihan ketenteraan tetapi juga menjadi wadah pembentukan sahsiah.
Dengan pelaksanaan fasa yang terperinci, program ini merupakan langkah penting untuk memastikan Malaysia terus maju sebagai sebuah negara yang harmoni, berdaya saing dan memiliki rakyat yang kuat dari segi pelbagai aspek.
Kejayaan PLKN 3.0 akan menjadi bukti bahawa Malaysia mampu membina generasi muda yang bersemangat patriotik, berdisiplin, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. – XKLUSIF