Berita

Caj QR DuitNow: Golongan bawahan tidak akan terbeban – Anwar

BNM akan memberi penjelasan lanjut kepada orang ramai mengenai isu dibangkitkan sejak beberapa hari lalu itu

KUALA LUMPUR 29 Sept – Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata caj bakal dikenakan terhadap pengguna QR DuitNow bermula 1 Nov tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah.

Menurutnya, perkara itu telah dijelaskan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Abdul Rasheed Ghaffour dalam perbincangan mereka semalam.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, BNM akan memberi penjelasan lanjut kepada orang ramai mengenai isu dibangkitkan sejak beberapa hari lalu itu.

“Sekarang yang penting, tidak membebankan golongan berpendapatan rendah dan menengah,” katanya selepas melawat pameran Postnormal Times di KL Jazz & Art Center.

Semalam, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), pengendali platform QR DuitNow mengesahkan pengguna aplikasi itu akan dikenakan caj bermula 1 Nov ini.

Syarikat itu menjelaskan caj kadar diskaun pedagang atau ‘merchant discount rate (MDR)’ bukan perkara baharu kerana ia dikecualikan ketika tempoh pengenalan aplikasi pada 2019, bagi menggalakkan penggunaannya.

Malam tadi, media melaporkan keresahan peniaga kecil susulan pengenaan caj ke atas pengguna aplikasi QR DuitNow kerana bimbang “untung tidak seberapa” makin mengecil.

Setakat ini, tiga bank iaitu Public Bank, CIMB dan Maybank mengumumkan penangguhan caj untuk vendor menerima pembayaran melalui platform kod QR DuitNow.

CIMB memutuskan menangguhkannya sehingga akhir tahun, manakala Public Bank dan Maybank sehingga diberitahu kelak. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button