Jenayah

Cangkul majikan hingga mati, amah, suami dijel 35 tahun

Tertuduh pertama, Bartolomeus Fransceda yang juga tukang kebun turut diperintahkan disebat 12 kali, manakala isterinya, Ekalia hanya dikenakan hukuman penjara

JOHOR BAHRU 11 Dis – Seorang pembantu rumah warga Indonesia dan suaminya yang membunuh majikan mereka tiga tahun lalu, dijatuhi hukuman penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Tertuduh pertama, Bartolomeus Fransceda yang juga tukang kebun turut diperintahkan disebat 12 kali, manakala isterinya, Ekalia hanya dikenakan hukuman penjara.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu terhadap kedua-dua tertuduh berusia 23 tahun itu selepas mengambil kira dan menimbangkan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Selain itu, kedua-dua tertuduh turut menukar pengakuan bersalah pada 29 November lalu.

“Mahkamah ini turut mengambil kira kenyataan impak mangsa dan fakta kes yang dibentangkan pendakwaan serta prinsip-prinsip penghukuman, mahkamah ini menjatuhi hukuman.

“Oleh itu, tertuduh pertama dijatuhkan hukuman penjara 35 tahun mulai tarikh tangkap dan sebatan rotan 12 kali, manakala tertuduh kedua dihukum penjara 35 tahun mulai tarikh tangkap dan tiada sebatan rotan,” katanya.

Kedua-dua tertuduh dituduh secara bersama-sama membunuh Lau Yen Na, 73, di sebuah rumah di Palm Resort, Senai, Kulai, kira-kira jam 2 petang, 17 Mac 2020.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan 12 sebatan.

Pada prosiding minggu lalu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian mengerikan itu turut disiarkan menyebabkan ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak.

Mengikut fakta kes, berdasarkan siasatan dan analisis CCTV di tempat kejadian, tertuduh pertama iaitu Bartolomeus dan kedua Ekalia, membunuh si mati dengan menggunakan cangkul kecil mempunyai dua mata tajam.

Tertuduh pertama dan kedua telah memukul si mati dengan cangkul kecil itu pada kepala ketika si mati sedang berehat, sebelum mereka mengambil Toyota Alphard serta telefon bimbit mangsa untuk ke Kuala Lumpur dan bertemu rakan bagi mencari kerja baharu.

Kedua-dua tertuduh ditahan di sebuah restoran di Damansara sebelum hasil analisis patologi mendedahkan punca kematian mangsa adalah kerana luka tetak berganda di kepala.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala dua tertuduh diwakili peguam, Ooi Pen Lyn dan S Selvi. – Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button