Santai

Carlanisa martabat songket, hasilkan koleksi raya mempesona dan mampu milik

Menggabungkan fabrik yang lebih selesa seperti kapas twill dengan sulaman motif songket, itulah yang menjadikan butik Carlanisa begitu unik.

KUALA LUMPUR, Mac 27 – Meskipun dunia fesyen hari ini semakin sarat dengan pembaharuan dan transformasi, sukar menafikan tarikan pakaian tradisional seperti songket yang tidak pernah lapuk ditelan zaman.

Menggabungkan fabrik yang lebih selesa seperti kapas twill dengan sulaman motif songket, itulah yang menjadikan butik Carlanisa begitu unik dan istimewa di kalangan pelanggannya.

Khairunnisa bersama suami, Muhammad Waqas bersama antara koleksi Aidilfitri 2023.

Pengasasnya, Khairunnisa Hassan berkata, butik itu sememangnya sinonim dengan rekaan sulaman bermotifkan songket dan sejak ditubuhkan pada 2016, mereka antara yang giat mempromosi songket bunga tabur.

Tahun berganti, butik itu mula meluaskan penggunaan fabrik yang lebih selesa serta mempelbagaikan rekaan motif songket hasil kreativiti pengasas bersama yang juga suami Khairunnisa, Muhammad Waqas Muhammad Afzal.

“Kami bermula secara online saja dengan menjual pelbagai jenis songket bunga tabur dan dari situ kami dikenali sebagai pengeluar produk songket.

“Sehinggalah pada 2019 butik kami dijenamakan dengan nama Carlanisa dan kami mula mengetengahkan pelbagai rekaan busana tradisional bermotifkan sulaman songket dan membuka outlet pertama kami di Bangi Sentral pada 2021,” katanya ketika ditemui Xklusif baru-baru ini.

Menurut Khairunnisa, untuk koleksi Aidilfitri tahun ini, dia dan suaminya mengetengahkan perincian sulaman yang lebih menarik namun masih mengekalkan motif songket yang sentiasa malar segar.

Katanya, matlamat Carlanisa dengan rekaan busana itu ialah mahu pemakai dapat mengimbau suasana raya di masa silam di samping menghargai keunikan seni dan tradisi nenek moyang.

“Jadi, potongan baju itu juga cenderung kepada gaya yang popular ketika zaman berkenaan iaitu baju kurung atau kebaya labuh.

“Meskipun sudah ratusan tahun busana kurung mahupun kebaya digayakan orang terdahulu, namun masih kekal sebagai trend popular digayakan kebanyakan wanita generasi sekarang dari pelbagai peringkat usia.

“Selain potongan tradisi, kami ketengahkan beberapa potongan tradisional seperti kurung Riau dan kurung Pahang.

“Ada juga yang kami modenkan mengikut kesesuaian masyarakat sekarang yang mahu rekaan lebih santai serta kasual dan nampak lebih sesuai untuk digayakan ketika raya,” katanya.

Dari segi motif songket yang menghiasi busana, pasangan ini bijak memadankan kombinasi warna antara fabrik dan sulaman, malah motif songket yang direka begitu menyerlah dan memukau pandangan mata.

Manakala, fabrik kapas twill digunakan untuk memberi keselesaan maksimum kepada pemakai serta mudah diseterika.

Menariknya, meskipun motif sulaman yang tampak sarat dan menyerlah, harga yang ditawarkan amat berpatutan selain sesetengan rekaan terdapat sehingga saiz 3XL.

“Oleh kerana rekaan motif dan corak adalah 100 peratus hasil tangan suami, pengeluaran adalah terhad dan hanya terdapat di Carlanisa sahaja.

“Kami mengambil inspirasi songket ini kerana mengagumi warisan nenek moyang selain ciri elegan yang terdapat dalam motif songket itu sendiri, cuma kami modenkan songket dari segi warna, rekaan dan fabrik yang digunakan,” katanya.

Ditanya tentang cabaran yang dilalui, Khairunnisa berkata, mereka pernah lalui detik mencabar ketika pandemik 2 tahun lalu, yang mana kuasa membeli amat rendah ketika itu hinggakan mereka berdepan kerugian yang amat besar.

Bagaimanapun, mereka masih mampu bertahan malah sanggup mengeluarkan simpanan sendiri demi memastikan periuk nasi pekerja mereka terpelihara.

“Alhamdulillah, selepas ekonomi kembali pulih, kami bersyukur rezeki tidak putus-putus dan permintaan semakin meningkat,” katanya.

Carlanisa turut mengeluarkan koleksi kurta untuk disuai padan dengan busana wanita.

Carlanisa juga mempunyai cawangan di Tempat Orang Lokal (TOL), Kompleks PKNS Shah Alam dan merancang untuk membuka butik yang ketiga di Johor selepas Aidilfitri.

Koleksi Aidilfitri butik itu juga dipasarkan menerusi Facebook, Instagram dan Tiktok Carlanisa serta laman web www.carlanisa.com.

Tambahnya, mereka juga merancang untuk meluaskan pelan pemasaran dengan membuka peluang sebagai stokis dan ejen di seluruh negara. Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button