Ekonomi

CBP terima Anugerah Koperasi Premier Malaysia kali ke- 4 berturut-turut

Co-opbank Pertama (CBP) sekali lagi diiktiraf sebagai salah satu Koperasi Premier Malaysia untuk kali ke-empat berturut-turut oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Bin Yusoh dan turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2024 di Melaka pada 4 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, pengiktirafan yang diterima ini merupakan satu penghargaan kepada CBP di atas segala kerjasama dan usaha yang diberikan oleh seluruh warga CBP dan turut disokong oleh pengawal selia, anggota dan juga pelanggan-pelanggan CBP.

”Pengiktirafan ini juga memberi peluang kepada CBP untuk mengukuhkan lagi jenama CBP di dalam industri kewangan negara.

”Dengan kepelbagaian produk dan perkhidmatan perbankan yang berkualiti, CBP yakin untuk terus memberi persaingan yang sihat yang secara tidak langsung dapat membantu masyarakat di negara ini,”katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Khairil Anuar turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada pihak KUSKOP, SKM, Bank Negara Malaysia (BNM), anggota dan pelanggan-pelanggan CBP serta pihak media yang banyak memberi sokongan tanpa henti kepada CBP selama ini sehingga CBP terus menerima pengiktirafan ini.

Dalam masa yang sama, Khairil Anuar berkata, CBP akan terus memperkenalkan beberapa produk dan perkhidmatan perbankan baharu untuk pelanggan-pelanggan runcit dan juga korporat.

Dalam masa yang sama juga, CBP pada masa ini turut membuka langganan syer kepada orang ramai di semua cawangan-cawangan CBP di seluruh negara sehingga 31 Disember 2024.

”Pembukaan semula langganan syer ini dilihat dapat menyokong pertumbuhan perniagaan CBP bagi tahun 2024 selaras dengan pelaksanaan Pelan Strategik CBP 2022-2026.

”Pembukaan semula syer ini terbuka kepada anggota baharu dan sedia ada dengan jumlah maksima sehingga RM5 juta bagi individu dan sehingga RM200 juta bagi koperasi,”ujar beliau.

Tambahnya lagi, baru-baru ini juga, CBP telah menerima penarafan FI Rating A3/Stable/P2 daripada RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) yang mana CBP merupakan koperasi pertama di Malaysia yang menerima penarafan ini daripada RAM Ratings,”katanya.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button