Berita

CEO persatuan bola sepak antara ditahan SPRM berhubung kes rasuah

Berdasarkan siasatan yang dijalankan, wang lebih RM6 juta berkenaan telah dimasukkan ke dalam akaun sebuah persatuan bola sepak

KUALA LUMPUR 5 Han – Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah persatuan bola sepak ditahan kerana disyaki meminta serta menerima wang rasuah lebih RM6 juta, empat tahun lalu.

Turut ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah dua wakil perunding persatuan berkenaan serta seorang lagi individu yang bekerja sendiri.

Sumber memaklumkan, keempat-empat mereka yang berusia antara 40 hingga 60 tahun ditahan antara pukul 5 hingga 6.30 petang semalam ketika hadir ke Pejabat SPRM Kedah bagi dirakamkan keterangan.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, wang lebih RM6 juta berkenaan telah dimasukkan ke dalam akaun sebuah persatuan bola sepak.

“Wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan kerana membantu seorang pemilik sebuah syarikat untuk mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air,” katanya.

Keempat-empat suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 7 Januari bagi membantu siasatan lanjut.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Norhidayah Mohd. Noor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan tangkapan terhadap keempat-empat suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 16a(B) Akta SPRM 2009. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button