Tiga pendaki ‘degil’ sesat 9 jam lepas ceroboh Hutan Simpan Gunung Pulai
Mereka dipercayai menceroboh Hutan Simpan Gunung Pulai melalui Taman Awam Bandar Baru Kangkar Pulai pada 9 pagi
KUALA LUMPUR 19 Dis – Tiga pendaki, dipercayai menceroboh Hutan Simpan Gunung Pulai di Kulai, sesat selama sembilan jam di hutan itu sebelum ditemukan selamat tengah malam tadi.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) Datuk Salim Aman dalam kenyataan berkata ketiga-tiga lelaki berusia 20 hingga 30-an itu ditemukan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada empat petang melibatkan JPNJ, Balai Polis Kangkar Pulai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kangkar Pulai serta Malim Gunung Perhutanan (MGP).
Dia berkata mereka dipercayai menceroboh Hutan Simpan Gunung Pulai melalui Taman Awam Bandar Baru Kangkar Pulai pada sembilan pagi dan meneruskan pendakian ke Sungai Emas (Hutan Simpan Gunung Pulai) untuk menuju ke Tasik Biru Kangkar Pulai, namun gagal menemukan jalan keluar.
“Aduan diterima oleh Balai Polis Kangkar Pulai pada empat petang, selepas mangsa membuat laporan sendiri menerusi panggilan telefon dan memaklumkan bahawa mereka tersesat serta tidak menjumpai jalan pulang.
“Difahamkan juga, mangsa kali pertama memasuki kawasan tersebut dan hanya mendapat maklumat daripada pendaki lain,” kata Salim.
Salim berkata pendaki tersebut didapati tidak mempunyai permit untuk memasuki hutan simpan serta tanpa kawalan jurupandu atau MGP.
Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1995 Negeri Johor, katanya.
Dia berkata JPNJ telah mengumumkan penutupan trek pendakian Gunung Pulai bermula 20 Nov lepas, sekali gus menasihatkan orang ramai agar mematuhi larangan penutupan itu atas faktor keselamatan diri dan ketenteraman awam. – Bernama