Cina masih diperlukan jika Melayu raih kuasa politik – Tun M
Negara juga masih dan sentiasa menjadi milik Melayu.
KUALA LUMPUR 12 Julai – Bangsa Cina masih diperlukan untuk memakmurkan negara jika orang Melayu mendapat semula kuasa politik.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, negara juga masih dan sentiasa menjadi milik Melayu.
“Populasi negara adalah berbilang kaum. Tetapi itu tidak bermaksud bahawa negara ini bukan lagi milik Melayu.
“Di negara lain yang mana pendatang menetap, mereka berasimilasi. Orang Melayu pula membuat konsesi untuk menerima pendatang Cina dan India.
“Mereka tidak perlu diasimilasikan apabila mendapat kerakyatan. Tetapi itu tidak bermakna identiti negara ini mesti berubah,” katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebook rasmi miliknya pada semalam.
Menurut Dr Mahathir, beliau sebelum itu singgah ke sebuah pusat beli-belah dan menyatakan rasa kagum terhadap binaan yang disifatkan lebih maju berbanding di London, Tokyo atau Seoul.
Dia menyifatkan bangsa Cina mempunyai idea dan kewangan untuk melakukan semua itu sedangkan golongan Melayu tidak sama sekali.
Namun katanya, satu ketika dahulu, walaupun Melayu tidak mempunyai kemampuan untuk melakukan perkara itu, orang Melayu mempunyai pengaruh politik yang kuat.
Perkara itu katanya menjadikan kedua-duanya seimbang.
“Tetapi sekarang sudah berubah. Cina semakin kuat dalam politik dan jika mereka menguasai politik, apa lagi yang tinggal untuk orang Melayu,” katanya.
Disebabkan itu kata Dr Mahathir, dia tidak kisah untuk sesiapa membuat duit di Malaysia, namun jangan hilangkan Melayu dari negara dan sejarang mereka.
Tambahnya, benarkan orang Melayu untuk memiliki sebahagian daripadanya. — Xklusif