Covid-19: Ancaman Eris pula merebak selepas Omicron
Data terbaharu menunjukkan Eris menyumbang 14.6 peratus kes Covid-19 iaitu kedua paling lazim di London.

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Kemunculan varian baharu Covid-19 dilaporkan sedang merebak dengan cepat di Britain selepas Omicron.
Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) mengesahkan varian EG.5.1 atau Eris itu pertama kali dikesan di United Kingdom pada bulan lalu.
Data terbaharu menunjukkan Eris menyumbang 14.6 peratus kes Covid-19 iaitu kedua paling lazim di London.
“Kadar kes Covid-19 terus meningkat pada minggu ini. Kira-kira 5.4 peratus daripada 4,396 spesimen pernafasan yang direkodkan melalui Respiratory DataMart System dikenali sebagai Covid-19 berbanding 3.7 peratus daripada 4,403 kes daripada laporan sebelum ini,” jelas UKHSA dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pihak berkuasa kesihatan juga merekodkan sedikit peningkatan dalam kadar kemasukan ke hospital terutamanya golongan warga emas.
“Tahap keseluruhan kemasukan masih kekal sangat rendah dan kami tidak melihat peningkatan yang sama dalam kemasukan di unit rawatan rapi, namun kami akan terus memantau dengan teliti,” kata Ketua Imunisasi UKHSA, Dr Mary Ramsay. – Agensi