Berita

COVID-19: Sabah catat 1 kematian, kes meningkat 356 peratus

Ketika ini seramai empat pesakit memerlukan penjagaan di unit rawatan rapi (ICU), manakala dua pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan

KUALA LUMPUR 19 Dis – Satu kematian baharu akibat COVID-19 dilaporkan di Sabah pada minggu lalu.

Menteri Penyelaras COVID-19 Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata kes kematian itu direkodkan di Kota Kinabalu pada minggu epidemiologi ke-50 bagi tempoh 10 Disember hingga 16 Disember lalu itu, manakala seramai 139 pesakit masih menerima rawatan di hospital seluruh negeri.

Berdasarkan Laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, katanya, ketika ini seramai empat pesakit memerlukan penjagaan di unit rawatan rapi (ICU), manakala dua pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Secara keseluruhan, kes positif COVID-19 di Sabah melonjak 356 peratus kepada 984 kes sepanjang minggu lalu, berbanding hanya 216 kes pada minggu sebelumnya.

“Semua kes yang dilapor membabitkan jangkitan tempatan dengan purata 86 kes baharu setiap hari, berbanding purata 19 kes sehari pada minggu sebelumnya.

“Bilangan pesakit baharu COVID-19 dalam rawatan juga meningkat sebanyak 55 peratus kepada 133 kes minggu lalu berbanding 86 kes pada minggu sebelumnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengikut daerah, Kota Kinabalu mencatat kenaikan tertinggi kes COVID-19 sepanjang minggu lalu dengan 413 kes baharu berbanding 86 kes pada 3 hingga 9 Disember, disusuli Penampang dengan 109 kes baharu berbanding 21 pada minggu sebelumnya.

Kes di Tuaran meningkat kepada 100 berbanding 32 kes pada minggu sebelumnya, Putatan dengan 60 kes baharu minggu lalu berbanding hanya satu kes pada minggu sebelumnya, diikuti Kota Belud dengan 66 kes minggu lalu berbanding 15 pada minggu sebelumnya.

Berikutan itu, Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, menasihatkan orang ramai mengamalkan penjagaan kebersihan diri pada tahap optimum seperti kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka di kawasan tumpuan awam, terutama oleh golongan berisiko dan bergejala.

“Kepada mereka yang belum mendapatkan vaksin dos primer dan dos penggalak, bagi tujuan mengurangkan risiko penularan jangkitan, dinasihatkan berhubung dengan Klinik Kesihatan yang berdekatan.

“Golongan berisiko disaran mendapatkan rawatan antiviral Paxovid yang boleh diperoleh di Klinik Kesihatan berdekatan,” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button