Dunia

Cuaca kering sebabkan empat kawasan kebakaran hutan di Turkiye

Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran satu daripada empat kawasan yang mengalami kebakaran hutan yang berasingan di Turkiye.

Tiga lagi kawasan hutan sebahagiannya sudah dapat dikawal daripada terus merebak.

Menteri Perhutanan, Ibrahim Yumakli, berkata tiga kebakaran hutan berlaku di barat laut Turkiye awal minggu ini di daerah Eceabat di wilayah Canakkale; daerah Goynuk di wilayah Bolu dan di daerah Gordes di wilayah Manisa.

Katanya, kebakaran keempat bermula lewat semalam, di daerah Karsiyaka di wilayah pantai barat Izmir.

“Kebakaran di Canakkale terkawal, manakala kebakaran Manisa sebahagiannya dapat dikawal. Usaha diteruskan untuk mengawal yang lain.

“Data meteorologi menunjukkan terdapat risiko tinggi untuk tiga hari akan datang, justeru semua institusi negeri diminta berada dalam keadaan berjaga-jaga dalam tempoh ini,” katanya sambil menyatakan bahawa suhu tinggi, kelembapan rendah dan angin kencang menambah risiko.

Beliau berkata, kebakaran Canakkale berpunca daripada tiang elektrik di tepi jalan, manakala kebakaran lain belum diketahui puncanya.

Sementara itu, penyiar Turkiye menunjukkan rakaman api yang melanda kawasan tanah dengan asap hitam berkepul di atas hutan dan bandar.

Gabenor wilayah Canakkale dan Bolu berkata, beberapa kawasan kejiranan atau kampung sudah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga, tetapi tiada ancaman segera kepada kawasan kediaman.

Artikel Berkaitan

Back to top button