Daftar dahulu, bayar nanti…
Anwar menegaskan pelajar tidak seharusnya dinafikan hak mereka untuk belajar hanya kerana masalah kewangan
KUALA LUMPUR 13 Okt – Universiti awam tidak boleh menghalang pelajar yang tidak mampu membayar yuran pendaftaran daripada mendaftar subjek pada setiap semester atau menduduki peperiksaan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam pembentangan Belanjawan 2024 hari ini, Anwar, yang juga menteri kewangan, menegaskan pelajar tidak seharusnya dinafikan hak mereka untuk belajar hanya kerana masalah kewangan.
Dia berkata yuran pendaftaran memasuki universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500. Ini supaya pelajar yang layak mendapat pendahuluan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mampu membayar jumlah tersebut.
“Saya tidak akan sama sekali mengizinkan, mahasiswa khususnya daripada keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam dihalang atau dinafikan haknya daripada mendaftar hanya kerana tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan pengajian.
“Tidak ada duit untuk bayar yuran tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang
mahasiswa mengambil peperiksaan,” katanya.
Anwar berkata pada masa yang sama, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak lagi akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.
“Sebarang peraturan pembayaran oleh universiti hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar.pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian mereka tidak akan disekat daripada mendaftar mata pelajaran setiap semester,” katanya. – Xklusif