Berita

Tun Daim, isteri pecat sebahagian pasukan peguam

Penamatan khidmat itu dibuat dua hari lalu, atas dasar "perbezaan pandangan" dalam pengendalian kes tersebut

KUALA LUMPUR 26 Jan – Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan isterinya, Na’imah Abdul Khalid telah menamatkan khidmat dua peguam daripada pasukan yang mewakili mereka dalam pendakwaan dan siasatan SPRM.

Seorang sumber hari ini mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa dua peguam tersebut adalah Mohd Yusof Zainal Abiden, yang merupakan bekas peguam cara negara, dan Alex Tan.

Dia berkata penamatan khidmat itu dibuat dua hari lalu, atas dasar “perbezaan pandangan” dalam pengendalian kes tersebut.

Sebelum ini, pasangan itu melantik firma guaman Wong Kian Kheong selaku peguam cara dan peguam M Puravalen and Yunos Shariff.

Perlu dinyatakan yang Daim dan Na’imah juga merupakan peguam, dengan Daim masih memiliki sijil guamannya.

Pada 23 Januari lalu, Na’imah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mengisytiharkan asetnya seperti yang diarahkan SPRM.

Wanita berusia 66 tahun itu boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata Daim telah juga dibenarkan keluar hospital dan dijangka akan didakwa di mahkamah minggu depan.

Hartawan berusia 85 tahun itu dijangka dihadapkan dengan sekurang-kurangnya satu pertuduhan gagal mengisytiharkan hartanah yang dimiliki bersama isterinya. – Malaysiakini

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button