Berita

Dakwaan belanja RM500 juta untuk promosi ‘bercanggah’ – Muhyiddin

Ia turut meliputi penerangan berhubung inisiatif kerajaan sepanjang wabak Covid-19

KUALA LUMPUR 8 Nov – Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berkata dakwaan pentadbiran beliau membelanjakan kira-kira RM500 juta untuk promosi bercanggah dengan kenyataan menteri di Parlimen.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan sejak 2020 membelanjakan RM700 juta untuk iklan, promosi, dan publisiti, dengan kira-kira RM500 juta dibelanjakan oleh pentadbiran Muhyiddin antaranya untuk membeli dan memasang iklan.

Ia turut meliputi penerangan berhubung inisiatif kerajaan sepanjang wabak Covid-19, tambahnya.

Muhyiddin bagaimanapun berkata menteri di Jabatan Perdana Menteri memaklumkan kerajaan PN hanya membelanjakan RM181,752.20 untuk penjenamaan, dan satu program sahaja dilaksanakan semasa pentadbiran gabungan itu, memandangkan perintah kawalan pergerakan.

“Kenyataan ini dibuat sendiri oleh menteri di Parlimen. Nampaknya, Anwar membuat kenyataan yang tidak munasabah dan bercanggah dengan kenyataan oleh menteri di Parlimen,” katanya.

Muhyiddin merujuk kepada jawaban bertulis Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas, Armizan Mohd Ali, pada 14 Feb.

Pengerusi PN itu menambah penggunaan papan iklan besar, televisyen, dan radio ketika pentadbirannya adalah untuk menyampaikan pesanan berkait Covid-19 dan maklumat berkait Pakej Rangsangan Ekonomi.

Anwar semalam menjawab soalan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran mengenai jumlah dibelanjakan untuk promosi dan publisiti menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa dari 2020 hingga kini. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button