Berita

Dana Aman Palestin beku sehingga selesai siasatan SPRM

SPRM tidak boleh mengeluarkan dana itu begitu sahaja atas gesaan sesiapa.

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Dana Aman Palestin Berhad yang kini dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh dikeluarkan sehingga siasatan diselesaikan agensi itu, kata Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, siasatan terhadap akaun Aman Palestin ketika ini adalah serius kerana membabitkan kepentingan awam.

“Berhubung akaun Aman Palestin yang dibekukan, SPRM masih menyiasat kesahihan transaksi dan tuntutan sebelum ini.

“Dalam isu berkenaan (gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad), SPRM tidak boleh begitu sahaja mengeluarkan dana itu sehingga semua siasatan selesai, termasuklah penjelasan diperolehi berhubung penggunaan terhadap derma awam berjumlah jutaan ringgit,” katanya, di sini hari ini.

Azam berkata, siasatan terhadap Aman Palestin perlu dijadikan teladan bagaimana derma awam sedemikian digunakan.

“Sebagai badan penguatkuasaan antirasuah utama, SPRM memandang serius kes ini kerana ia adalah kepentingan awam.

“Ia berkemungkinan akan menjadi contoh bagaimana derma awam boleh dan tidak boleh digunakan,” katanya.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menggesa, SPRM untuk membenarkan Aman Palestin Berhad menggunakan RM10 juta daripada akaun yang dibekukan untuk membantu penduduk di Gaza.

Beliau menzahirkan kebimbangan mengenai penderitaan penduduk akan bertambah menjelang musim sejuk, selepas berdepan serangan dan kekejaman Israel.

“Sebelum ini, Aman Palestin menyediakan RM10 juta untuk membantu rakyat Palestin, Yaman, Syria dan Lebanon bagi mengurangkan kesengsaraan mereka, namun telah dibekukan SPRM susulan siasatan ke atasnya.

“Malangnya, Aman Palestin kita disiasat oleh SPRM dan akaun-akaun mereka dibekukan,” katanya. — BH

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button