DAP sokong mansuh pencen
DAP tiada masalah berhubung isu terbabit kerana DAP sentiasa bersama dengan kerajaan untuk membuat perubahan berkenaan

PUTRAJAYA 30 Jan – DAP menyambut baik sebarang cadangan atau keputusan membabitkan isu skim pencen wakil rakyat seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, berkata DAP tiada masalah berhubung isu terbabit kerana DAP sentiasa bersama dengan kerajaan untuk membuat perubahan berkenaan.
“Saya sendiri belum layak dapat pencen kerana tahun ini saya berumur 47 tahun dan belum lagi tiba tarikh lahir. Nak dapat pencen sekurang-kurangnya daripada jawatan itu selepas berusia 50 tahun.
“Jadi soal pencen itu, untuk DAP tiada masalah dan kita bersama dengan kerajaan untuk membuat perubahan ini dan perubahan ini perlu kita buat kerana (ia) satu cabaran besar kepada kewangan negara,” katanya pada sidang media di sini, tadi.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, wakil rakyat yang sudah menerima lebih daripada satu skim pencen memiliki tanggungjawab moral untuk memilih semula hanya satu skim pencen dan perkara itu juga sudah dilakukan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ia susulan pengumuman perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap bagi lantikan bermula 1 Februari ini, tidak lagi berpencen dengan perkembangan itu mengundang maklum balas negatif dalam kalangan masyarakat.
Rata-rata mengemukakan pandangan tidak bersetuju dengan langkah itu, termasuk menyuarakan kebimbangan sektor awam tidak akan lagi menjadi pilihan untuk alam pekerjaan dan memberi kesan kepada bidang kritikal.
Jabatan Perkhidmatan Awam ketika ini sedang menerajui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA), yang akan menjadi dasar baharu kerajaan khususnya berkaitan kaedah berpencen penjawat awam.
Mengulas lanjut, Loke berkata, sebagai anggota pentadbiran dan pemimpin politik, mereka perlu bersedia berkorban.
“Saya rasa apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri supaya mana-mana ahli politik berkhidmat dalam pelbagai kapasiti hanya pilih satu pencen, itu satu cadangan yang baik.
“Saya yakin ini adalah satu semangat yang kita bawa dalam parti dan kerajaan kerana apabila kita buat sebarang perubahan itu, sudah tentu saya faham sebagai pemimpin politik, kita kena tunjukkan contoh yang baik, tunjukkan teladan dan saya rasa atas nasihat daripada Perdana Menteri, tiada masalah untuk kita mengambil pendirian itu,” katanya. – Berita Harian