Berita

Data 1MDB diguna beli undi PRU13 – Pegawai SPRM

Pengadu dalam laporan itu mendakwa Najib menerima USD681 juta pada 2013 daripada Tanore Finance Corporation, yang digunakan untuk merasuah pengundi semasa pilihan raya tersebut.

KUALA LUMPUR 2 Jan. – Seorang saksi pendakwaan mendakwa pihak berkuasa menerima aduan pada Mei 2015 bahawa dana 1MDB digunakan untuk “membeli undi” pada PRU13 yang diadakan dua tahun sebelum itu.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin, memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan 1MDB Najib Razak selepas aduan itu, siasatan terhadap bekas perdana menteri atas tuduhan rasuah bermula pada Ogos 2015.

Katanya, pengadu dalam laporan itu mendakwa Najib menerima USD681 juta pada 2013 daripada Tanore Finance Corporation, yang digunakan untuk merasuah pengundi semasa pilihan raya tersebut.

Aida berkata, kes itu pada mulanya disiasat oleh rakan sepasukannya, Nasharudin Amir.

Katanya, dia mengambil alih siasatan itu pada 2018.

Aida memberitahu mahkamah, semasa siasatan dia mendapatkan dokumen daripada pelbagai pihak, termasuk polis, Bank Negara(BNM), Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, dokumen juga diperoleh daripada entiti luar negara sebagai sebahagian daripada siasatan.

Lembaga Pelaburan Terengganu

Aida berkata, berdasarkan siasatannya, Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada asalnya ditubuhkan oleh kerajaan Terengganu bagi membantu pembangunan negeri itu.

Katanya, dana itu ditubuhkan selepas Low Taek Jho (lebih dikenali sebagai Jho Low) membentangkan idea tersebut kepada Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2008.

TIA secara rasmi ditubuhkan pada 27 Feb 2009, dan Shahrol Azral Ibrahim Halmi dilantik sebagai CEO, manakala Ismee Ismail dan Bakke Salleh berkhidmat sebagai pengarah.

TIA kemudian menerbitkan bon Islamik jangka sederhana untuk memperoleh pinjaman RM5 bilion. Kerajaan persekutuan bertindak sebagai penjamin bon tersebut.

Bagaimanapun, Aida berkata pada 22 Mei tahun itu, Sultan Mizan memerintahkan penerbitan bon tersebut dihentikan.

Pada 2019, mahkamah mendengar keterangan daripada Shahrol bahawa Sultan Terengganu itu “marah” dengan penerbitan tersebut.

Shahrol juga memberi keterangan bahawa Ismee dan beliau bertemu Najib di rumah bekas perdana menteri itu. Shahrol mendakwa Najib memberitahunya untuk meneruskan penerbitan bon tersebut.

Pada Julai 2009, kerajaan persekutuan mengambil alih TIA dan menamakannya 1MDB.

Najib didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang disimpan dalam akaun AmBank beliau antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Perbicaraan bersambung pada 5 Jan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. — FMT

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button