Berita

Data peribadi dalam sistem digital milik kerajaan

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Kerajaan memberi jaminan semua data peribadi yang digunakan dalam apa juga aplikasi dan sistem digital akan dikawal dan hanya menjadi milik kerajaan sepenuhnya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, syarikat pengendali yang diberi tanggungjawab melaksana sebarang bentuk aplikasi dan sistem digital itu, sebaliknya tidak akan diberi akses kepada maklumat peribadi berkenaan.

“Data peribadi adalah jaminan utama (kerajaan) walaupun mereka (yang mengendalikan aplikasi itu ada syarikat) pengendalinya. Keutamaan kerajaan adalah data peribadi akan menjadi milik Kerajaan Malaysia sendiri saja.

“Tidak mungkin berlaku kebocoran maklumat peribadi kepada (syarikat) pengendali,” katanya selepas Majlis Pelancaran ZCERT : Sistem Dokumen Kelayakan Disahkan Digital rentas sempadan diatas blok rantai Zetrix-Xinghuo di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, ini juga terpakai kepada semua syarikat pengendali asing yang menjalankan kerjasama dengan syarikat tempatan dalam pembangunan aplikasi dan sistem digital.

Beliau berkata, perkara sama juga berlaku dalam pelaksanaan sistem Identiti Digital Nasional atau Digital ID yang menjadi kebimbangan rakyat ketika ini, yang mana maklumat peribadi digunakan, akan dipegang sepenuhnya oleh kerajaan dan tidak dikendalikan pihak ketiga.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) amat maklum mengenai kebimbangan ini ketika pelancaran aplikasi Digital ID, tetapi yakinlah beliau memberi jaminan maklumat peribadi akan dipegang sepenuhnya pihak kerajaan dan tidak dikendalikan pihak ketiga.

“Dalam perkara ini, soal kerahsiaan peribadi menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.

Mengulas Sistem Dokumen Kelayakan Disahkan Digital rentas sempadan di atas blok rantai Zetrix-Xinghuo, Ahmad Zahid berkata, kerajaan mengalu-alukan kerjasama antara syarikat dalam negara dan asing itu bagi mewujudkan blok rantai dan kecerdasan buatan (AI).

“Saya sebutkan tadi, malah Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) sendiri sudah membawa perkara ini kepada Jemaah Menteri terutama untuk mengurangkan kos kepada pengeluaran lesen memandu fizikal dan menambahkan beberapa maklumat dalam lesen memandu.

“Ini supaya ia tidak menjadi bebanan rakyat dan boleh diaplikasikan untuk transaksi yang pelbagai serta terhad kepada kegunaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) saja,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, Kabinet secara dasarnya bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) menukar lesen memandu kenderaan yang digunakan ketika ini kepada bentuk digital.

“Loke sebelum ini merancang menukar lesen memandu yang ada, dalam bentuk digital dengan syarat semua maklumat peribadi tidak diperoleh syarikat pengendali, manakala kos setiap lesen kurang dari sekarang dan Kabinet bersetuju pada dasarnya dengan cadangan itu,” katanya. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button