Dataran Sungai Tua meriah dengan sambutan hangat Program Jelajah Peduli Ummah anjuran MAPIM

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama Pejabat Menteri Besar Selangor dan agensi tempatan telah melancarkan program Jelajah Peduli Ummah di Dataran Sungai Tua, Selayang.
Program ini bertujuan untuk memperkukuh semangat perpaduan dan meningkatkan kesedaran kemanusiaan dalam masyarakat.
Sejak dilancarkan pada tahun 2020, Jelajah Peduli Ummah telah memberi manfaat kepada lebih 200,000 individu di seluruh negara.
Untuk edisi 2024, MAPIM menyasarkan 100,000 penerima manfaat melalui pelbagai siri jelajah yang turut mendapat sokongan daripada ZUS Coffee sebagai rakan penaja.
Program ini menawarkan pelbagai aktiviti komuniti termasuk klinik kesihatan bergerak, sukaneka, penyediaan makanan secara bergotong-royong, dan ziarah mahabbah ke rumah keluarga asnaf.
Isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad, turut mengambil bahagian sebagai juri dalam pertandingan memasak dan menyertai aktiviti ziarah.
Majlis pelancaran ini dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa kepedulian bukan sekadar membawa bantuan makanan tetapi juga meliputi aspek kesihatan dan sosial.
“MAPIM bukan sahaja membantu di luar negara tetapi juga di dalam negara kita,” ujarnya.
Program ini juga menyaksikan penyerahan sumbangan kepada 200 keluarga memerlukan dalam komuniti setempat. Dr. Sani Araby Al Kahery dari MAPIM menjelaskan bahawa program ini memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk berganding bahu dalam usaha kemanusiaan. Beliau berharap Jelajah Peduli Ummah akan terus membina perpaduan dan kekuatan di kalangan rakyat.
Hampir 10,000 orang menghadiri program ini dan memberikan maklum balas positif tentang pelbagai aktiviti yang ditawarkan. MAPIM berhasrat untuk memperluaskan impak bantuan kemanusiaan dengan membina jaringan kerjasama komuniti yang lebih kukuh.