‘Datuk botak’ tak jumpa MP Pas minta sokong PM
'Datuk botak' sebelum ini didakwa menjadi individu penting disebalik sokongan MP PN kepada kerajaan.

KUALA LUMPUR 16 Nov. – PAS mengesahkan tiada Ahli Parlimennya didekati individu tertentu (Datuk botak) supaya menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Setakat ini dalam makluman kita tidak ada,” kata Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari pada sidang media di Parlimen seperti dilaporkan FMT.
Beliau mengulas jika ada individu tertentu (Datuk botak) mendekati wakil rakyat parti itu untuk tujuan berkenaan.
Semalam, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa “Datuk Botak” yang sebelum ini dikatakan menjadi dalang meraih sokongan Ahli Parlimen parti itu turut menawarkan habuan kepada wakil rakyat PAS bagi tujuan sama.
Dalam pada itu, Fadhli berkata kerajaan seharusnya menolak sokongan empat Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) jika benar-benar berpegang kepada prinsip.
“Ia bukti kerajaan hari ini tak tahu malu. Mereka kata menentang aktiviti lompat, sepatutnya bila empat Ahli Parlimen tukar sokongan…mereka perlu tolak sokongan ini kerana bertentangan prinsip mereka selama ini.
“Apa kerajaan lakukan ini akan makan diri, mungkin tak lama lagi atau satu masa nanti,” katanya.
Beliau turut berharap semua Ahli Parlimen terbabit iaitu Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) menarik balik sokongan terhadap perdana menteri.
“Ya kita kecewa. Kita harap mereka yang pergi ke seberang sana dapat timbang semula tindakan dan tarik balik apa mereka laksanakan,” katanya. — Xklusif