Berita

Datuk Zayn yakin tidak wujud unsur dendam

Datuk Zayn percaya apa yang berlaku tidak melibatkan unsur dendam.

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Datuk Zayn Rayyan Abdul MatiinDatuk Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, menolak wujud unsur dendam membawa kepada kematian cucu sulungnya itu.

Tegas Zahari Mohd RebaZahari Mohd Reba, 55, dirinya percaya apa yang berlaku langsung tidak berunsurkan dendam terhadap mangsa atau ahli keluarganya.

“Anak saya baru duduk di sini tiga tahun, rutin harian pergi balik kerja sahaja, dia kenal pun hanya jiran sebelah.

“Jadi apa kaitan dengan unsur dendam, namun saya tidak pasti jika ada perbuatan atau tingkah laku yang tidak disenangi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini pada Ahad.

Katanya, dia sekeluarga yakin pihak polis dapat merungkai sepenuhnya kes itu.

“Maaf kalau nak ulas lebih, saya rasakan tak perlu sebab kes masih dalam siasatan, namun saya yakin dengan kecekapan polis untuk berkas individu yang bertanggungjawab.

“Saya minta orang ramai agar tidak mengeluarkan sewenang-wenangnya perkara yang di luar pengetahuan mereka, biar perkara ini kita serah kepada pihak berkuasa sepenuhnya,” katanya.

Jelas Zahari, cucunya Zayn Rayyan merupakan seorang kanak-kanak yang baik dan gemar bergurau dengannya.

Namun katanya, sebagai seorang anak istimewa, kadangkala reaksi cucunya itu sukar dijangka.

Menurutnya, dia sendiri pernah digigit ketika bergurau dengan cucunya itu dan tindakan agresif tersebut merupakan tindak balas Zayn Rayyan susulan keadaan dirinya yang non verbal iaitu tidak boleh berkomunikasi.

“Zayn kalau orang sakitkan dia, dia lagi agresif. Saya pun pernah kena gigit masa peluk dia walaupun niat sekadar mahu bergurau.

“Luka pada anggota badan Zayn mungkin dia bertindak balas ketika kejadian,” katanya.

Zahari berkata, Zayn Rayyan mula menunjukkan perubahan sikap kebelakangan ini apabila didakwa lebih agresif dan banyak mengamuk.

“Kali terakhir jumpa Zayn pada Sabtu sebelum saya berangkat hantar dua anak ke utara manakala Zayn ikut ayahnya ke Skudai untuk hantar seorang lagi anak saya ke sana.

“Ketika itu saya tak nampak sebarang perubahan, namun ayah Zayn beritahu Zayn sudah mula tunjuk perubahan sikap apabila lebih agresif dan banyak mengamuk,” katanya.

Dalam pada itu, turut kelihatan adalah ibu bapa Zayn Rayyan yang difahamkan pulang sebentar ke rumah sewa tersebut untuk mengambil barang sebelum beredar.

Kehilangan Zayn Rayyan sejak Selasa lalu terungkai apabila mangsa ditemui meninggal dunia di anak sungai kira-kira 200 meter dari Apartmen Idaman, Damansara Damai pada Rabu.

Mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak itu yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah. Sinar Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button