Berita

DBKL diarah buat pemantauan berkala premis perniagaan di ibu kota

Perkara itu untuk memastikan tiada aktiviti haram melibatkan warga asing dilakukan.

KUALA LUMPUR 23 Dis. – Tinjauan dan pemantauan berkala terhadap premis perniagaan di ibu kota perlu dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara itu untuk memastikan aktiviti melibatkan warga asing seperti penyewaan lesen perniagaan dan pengambilan pekerja dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat dibanteras.

“Saya maklum dan berterima kasih kepada Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan menyerbu dan menangkap PATI di Jalan Silang, di sini, dua hari lalu.

“Saya juga sudah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melakukan tinjauan dan pemantauan berkala terhadap premis-premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr Zaliha, pemilik premis turut diingatkan supaya mematuhi peraturan ditetapkan DBKL khususnya membabitkan PATIbagi mengelak risiko penarikan atau penggantungan lesen perniagaan mereka.

Tambahnya, beliau menyeru semua pemilik premis di Kuala Lumpur untuk menggunakan saluran yang betul jika berhasrat untuk mengambil pekerja asing dan mengelak dari menggajikan PATI.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 1,101 PATI ditahan dalam operasi bersepadu di ‘Mini Dhaka’ di Jalan Silang, di sini, kelmarin.

Operasi bermula 11 pagi itu disertai 1,138 pegawai dan anggota dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) membabitkan Bridged Tengah PGA, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Anjing Pengesan (K9).

Serbuan itu dilakukan hasil risikan dan maklumat berkaitan kebanjiran warga asing serta aktiviti jenayah di lokasi terbabit. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button