Berita

DBKL sita barang jualan peniaga warga asing

Operasi dilakukan di sekitar Jalan Silang dan Lebuh Pudu.

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan sitaan terhadap barang jualan sembilan peniaga warga asing dalam operasi di sekitar Jalan Silang dan Lebuh Pudu di ibu negara.

DBKL dalam kenyataan semalam, memaklumkan operasi terhadap peniaga warga asing terbabit dijalankan Jabatan Penguatkuasaan ekoran terdapat aduan penjaja warga asing berniaga di lokasi itu.

“Hasil pemantauan dan tindakan serta-merta dijalankan, sembilan tindakan sita dan pindah barangan penjajaan telah dilakukan di bawah kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen dari pihak berkuasa menerusi peruntukan UUK 3, Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja (WPKL) 2016,” kata kenyataan.

Kesemua barangan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong Taman Miharja Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi.

Dalam pada itu, DBKL turut mengeluarkan 35 notis kompaun pelbagai kesalahan ke atas kenderaan yang membuat halangan lalu-lintas sekitar kawasan Jalan Silang dan Lebuh Pudu menerusi Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.

“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari masa ke semasa dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain selepas ini,” kata pihak berkuasa tempatan itu. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button