DBKL tawar diskaun pelbagai kesalahan serendah RM10
Bagi kesalahan penjaja, lesen dan lain-lain yang tidak melibatkan warga asing kadar khas ditawarkan adalah sebanyak RM100
KUALA LUMPUR 1 Feb – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan kadar khas bagi kompaun kesalahan trafik dan am yang tidak membabitkan warga asing mulai hari ini hingga 29 Februari sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2024.
DBKL menerusi hantaran Facebook memaklumkan tawaran itu antaranya melibatkan kompaun kesalahan lalu lintas seperti kesalahan meletak kenderaan dengan kadar khas RM10 untuk motosikal manakala kereta, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori kecil RM20 manakala bas dan lori (RM50).
Bagi kesalahan penjaja, lesen dan lain-lain yang tidak melibatkan warga asing kadar khas ditawarkan adalah sebanyak RM100.
Menurut hantaran itu, kadar khas berkenaan tidak terpakai bagi kesalahan yang disenarai hitam, kes am di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997 dan UUK Pasar Borong (WPKL) 2002, mengambil bekerja mana-mana warga asing tanpa permit kerja sah di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016, mengambil bekerja mana-mana warga asing di bawah UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
Kesalahan lain yang tidak terpakai adalah di bawah Akta Hotel (WPKL) 2003, Akta Hiburan (WPKL) 1992 dan Akta (Perancangan) WP 1982 serta kesalahan berkaitan kelulusan bangunan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Orang ramai boleh menyemak dan membayar melalui aplikasi Pay@KL, menurut hantaran itu. – BERNAMA