Desaru Monsun Regatta bakal menggegar mulai esok hingga 10 November ini
DESARU Monsun Regatta 2024 akan menggegarkan Desaru dengan acara sukan layar yang paling dinanti-nantikan. Berlangsung selama tiga hari dari esok hingga 10 November 2024 di Kompleks Rakan Muda, Sukan Air dan Udara, Desaru, Bandar Penawar, acara ini bakal menghimpunkan para pelayar dari seluruh dunia untuk bertanding dalam suasana yang penuh cabaran di perairan Johor.
Program ini merupakan usaha anjuran bersama Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Penawar, dipimpin oleh ADUN Penawar, Fauziah Binti Misri, Persatuan Pelayaran Johor, dan disokong penuh oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, serta Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor.
Desaru Monsun Regatta bukan sahaja bertujuan untuk mempromosikan sukan pelayaran, tetapi juga untuk menyemarakkan pelancongan sukan dan menarik lebih ramai pengunjung ke Desaru. Acara ini diharapkan dapat meningkatkan profil Johor sebagai destinasi sukan antarabangsa.
Dengan sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Desaru Monsun Regatta 2024 dijangka akan menjadi acara yang lebih besar dan lebih meriah berbanding edisi sebelumnya, dengan lebih 200 peserta dari 14 negeri dan penyertaan antarabangsa.
70 peserta katagori perahu layar optimist bawah 15 tahun dari seluruh negeri akan mengambil bahagian dalam Regatta tersebut. Penyertaan Antarabangsa dalam kategori perahu layer ILCA4 bawah 17 tahun akan dipertandingkan oleh 5 peserta Indonesia dan 20 peserta dari Singapura.
Para pengunjung akan berpeluang menyaksikan perlumbaan sukan air yang mendebarkan, menyertai pelbagai aktiviti riadah, serta menikmati makanan tempatan yang disediakan di tapak acara. Selain daripada acara sukan, pelbagai gerai jualan dan aktiviti hiburan juga akan disediakan bagi memeriahkan suasana festival ini.
“Kami menjemput semua pihak untuk hadir dan menyertai kemeriahan Desaru Monsun Regatta 2024,” kata Fauziah.
“Ini adalah peluang yang fantastik untuk merasai kehebatan sukan pelayaran dan keindahan Desaru. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan bakat dan ketangkasan para pelayar yang akan beraksi di perairan yang menakjubkan ini.” ujar Fauziah lagi.
Acara ini menjanjikan satu perayaan sukan, komuniti, dan budaya, yang akan mempamerkan yang terbaik daripada apa yang Desaru tawarkan. Dengan pantai yang indah dan budaya tempatan yang meriah, Desaru adalah latar belakang yang sempurna untuk regatta yang berprestij ini.