Deschamps enggan salahkan barisan bintang Perancis

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps enggan menyalahkan bintang pasukan itu termasuk Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann selepas skuadnya tersingkit daripada separuh akhir Euro 2024 kepada Sepanyol.
“Itu tanggungjawab saya,” kata Deschamps kepada wartawan ketika ditanya kesan daripada persembahan hambar pasukannya dalam kejohanan membabitkan kapten dan penolong kapten Perancis itu.
“Berdepan Sepanyol yang memiliki kualiti seperti itu, anda perlu berada pada tahap terbaik,” katanya ketika Perancis tewas 1-2 pada kelompok empat terakhir di Munich walaupun mendahului hasil gol awal Randal Kolo Muani.
“Saya bukan mencari alasan, tetapi ketika kami memulakan persiapan untuk kejohanan ini, kami tidak memiliki Aurelien Tchouameni, Adrien Rabiot juga cedera, dan (Dayot) Upamecano tidak berada pada tahap terbaik.
“Kami berdepan isu yang menekan dan cuba menjadi sebaik mungkin walaupun berdepan masalah, tetapi ia langkah yang agak terlalu tinggi buat kami walaupun kami bertuah menjaringkan gol awal.”
Gol Kolo Muani adalah yang pertama dijaringkan pemain Perancis dalam aksi terbuka kejohanan kali ini, namun Sepanyol bangkit menerusi gol Lamine Yamal sebelum Dani Olmo meledak gol kemenangan.
“Sepanyol mengawal permainan dengan sangat baik. Kami tidak dapat melakukannya walaupun terus memberi tekanan hingga penamat,” kata Deschamps.
“Saya tidak boleh mengkritik pemain kerana tidak memberikan sepenuhnya. Mereka tidak semuanya 100 peratus dalam kejohanan kerana sebab yang pelbagai.”
Deschamps memuji Olivier Giroud selepas pemain veteran berusia 37 tahun itu yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis. membuat penampilan terakhir buatnya negaranya apabila masuk daripada bangku simpanan ketika berdepan Sepanyol.
Giroud membuat penampilan pertama di bawah kendalian Laurent Blanc selain bermain dalam aksi pertama Deschamps, perlawanan persahabatan menentang Uruguay pada Ogos 2012.
“Dia juga kecewa seperti semua pemain lain,” kata Deschamps.
“Dia berada di sana ketika permulaan, dan dia adalah yang terakhir sejak perlawanan pertama saya berdepan Uruguay di Le Havre.
“Dia melalui sebahagian tempoh yang sukar tetapi akhirnya menjadi penjaring terbanyak kami. Dia adalah contoh pemain mampu bertahan lama dan tahap profesionalisme.
“Dia tidak banyak bermain dalam Euro kali ini tetapi masih di belakang pasukan. Saya mengucapkan selamat maju jaya dan terima kasih kepadanya.” – AFP