Politik

'Langkah Dewan Merdeka' cubaan untuk sekat pertandingan dua jawatan tertinggi - KJ

Nur Lela

Published: Jan 14, 2023 3:05 pm . Updated:9:40 am

KUALA LUMPUR, Jan 14 -- Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa wujud cubaan untuk meluluskan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan pada Mei ini. 

 

Dipanggil sebagai 'Langkah Dewan Merdeka', Khairy turut mendedahkan 'tag' (tanda) pada kerusi dalam Dewan Merdeka yang pada awalnya dikhaskan untuk perwakilan UMNO sudah ditanggalkan untuk membawa masuk 'perwakilan import' bagi meluluskan usul tambahan berkenaan.

 

"Petang ini akan ada undi untuk usul tambahan ini dan saya difahamkan ia akan 'dibulldoze' (dilanggar).

 

"Malah, beberapa 'tag' (tanda) di kerusi di Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan bahagian telah dicabut dan ditanggal supaya perwakilan import boleh dibawa masuk untuk sorak (sokongan) dan 'bulldoze' usul supaya ia (jawatan Presiden dan Timbalan Presiden) tidak dipertandingkan," katanya dalam satu video di TikTok, hari ini.

 

Semalam, Dewan Merdeka dilapor kecoh selepas perwakilan Negeri Sembilan mencadangkan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

 

Cadangan usul tambahan dikemukakan wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin, ketika berucap sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden dan mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan.

 

Terdahulu ketika membahaskan usul ucapan Dasar Presiden UMNO, reaksi berbelah bahagi dizahirkan perwakilan negeri mengenai usul tambahan itu.

 

Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique, yang mewakili Wilayah Persekutuan senada dengan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad, menegaskan usul tambahan dikemukakan semalam itu bertentangan dengan Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.

 

Kedua-dua mereka beranggapan usul berkenaan tidak sempurna dan tidak boleh diteruskan.

 

Difahamkan, empat lagi perwakilan iaitu Selangor, Kelantan, Perak serta wakil mahasiswa bersetuju dan menyokong usul tambahan berkenaan.

 

Mengulas lanjut, Khairy menyifatkan usul tambahan itu sebagai pelik apabila disampaikan oleh wakil daripada Bahagian Rembau, memandangkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan adalah Ketua Bahagian UMNO Rembau.

 

"Kalau nak bawa usul penambahan pun, coverlah sikit. What happened to you Mat Hasan (Mohamad)?" soalnya.

 

Sehubungan itu, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau, merayu kepada semua perwakilan UMNO dalam Dewan Merdeka supaya tidak meluluskan usul tambahan berkenaan, sebaliknya memberi kebebasan kepada perwakilan untuk memilih pucuk pimpinan parti.

 

Beliau turut memberi jaminan pertandingan dua jawatan itu tidak akan menyebabkan UMNO berpecah-belah, sebaliknya akan menyokong mana-mana individu yang mendapat mandat menerajui UMNO.

 

"Saya janji bahawa pemilihan tidak akan membawa kepada perpecahan. Siapa yang menang dapat mandat daripada parti. Siapa yang menang, kita sokong dan kita ketepikan segala perbezaan selepas selesai pemilihan nanti.

 

"Kita dah tinggal 26 kerusi Parlimen UMNO. Ini prestasi yang terburuk dalam sejarah parti kita.

 

"Jadi sangat penting perwakilan dalam UMNO jangan melakukan 'Langkah Dewan Merdeka' untuk bunuh demokrasi, menidakkan suara perwakilan di akar umbi menentukan masa depan UMNO dan memilih siapa yang boleh dan layak menerajui parti kita dan membangkitkan semula parti keramat UMNO," katanya.

 

Terdahulu, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, mengesahkan tujuh usul dibentangkan dalam persidangan semalam, selain satu usul tambahan iaitu mengenai cadangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

 

Beliau bagaimanapun berkata, usul tambahan berkenaan tidak membabitkan sebarang pindaan Perlembagaan parti dan hanya membabitkan persetujuan dalam dewan.