Am

Penganggur terdesak curi bas sekolah untuk pulang ke kampung

Published: Jan 31, 2023 12:46 pm . Updated:1:56 am

MELAKA, Jan 31 -- Seorang penganggur terdesak sehingga sanggup mencuri bas sekolah untuk pulang ke kampung, namun tidak kesampaian apabila ditahan polis, petang semalam.

 

Suspek yang memandu bas berkenaan bagaimanapun terbabas tepi Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) sekaligus membawa kepada penahanannya kira-kira jam 5.45 petang. 

 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata sehari sebelum kejadian bas sekolah terbabit diletakkan di sebuah stesen minyak dekat Kampung Musai oleh pemiliknya. 

 

Beliau berkata, bagaimanapun kira-kira jam 5.30 petang semalam, warga emas berusia 68 tahun berkenaan melihat basnya bergerak keluar tetapi tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka adiknya yang memandu.

 

"Tidak lama selepas itu, dia dihubungi oleh anaknya yang memaklumkan ada orang mencuri bas miliknya itu dan melarikan diri ke arah Lebuh AMJ Melaka Sentral.

 

"Dia kemudian bergegas keluar dan mengikut dari arah belakang sebelum bas terbabit tiba-tiba terbabas ke bahu jalan berhampiran Taman Malinja. Dengan bantuan orang awam dia berjaya menahan suspek," katanya.

 

Menurut beliau, akibat daripada kejadian itu bas terbabit mengalami kerosakan yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM30,000.

 

"Malah siasatan awal dijalankan mendapati, suspek mendakwa dia hendak balik ke kampung di Kapar, Selangor dengan memandu bas sekolah itu.

 

"Selain semakan lanjut dijalankan mendapati suspek sebelum ini turut mempunyai satu rekod lampau membabitkan kes cubaan melarikan kenderaan pada 2013," katanya.

 

Christopher berkata, suspek kini direman selama tiga hari sehingga Khamis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan.