Am

Banjir Pahang: Semakin buruk, mangsa meningkat kepada 2,301 orang

Published: Mar 3, 2023 10:52 am . Updated:5:57 am

KUANTAN 3 Mac – Keadaan banjir di Pahang semakin memburuk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 2,031 orang berbanding 1,844 mangsa yang direkodkan semalam.

 

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A Rahman berkata, kesemua mangsa daripada 582 buah keluarga itu ditempatkan di 30 buah PPS di tujuh daerah di negeri ini.

 

“Mangsa terbanyak direkodkan setakat ini adalah di Rompin iaitu seramai 1,355 orang mangsa daripada 422 buah keluarga yang ditempatkan di 15 buah PPS.

 

“Temerloh daerah terbaharu yang merekodkan mangsa banjir melibatkan 22 orang daripada tujuh buah keluarga yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan,” katanya, di sini, hari ini.

 

Tambahnya jumlah mangsa di Maran adalah seramai 355 orang, Pekan (106 orang), Raub (68 orang), Jerantut (96 orang) dan Bera seramai 29 orang mangsa.

 

Dalam pada itu beliau berkata, pada masa ini Sungai Jempol di Jengka dan Sungai Keratong berada pada paras bahaya manakala lima batang sungai lagi iaitu di Jerantut, Temerloh, Maran dan Kuantan menunjukkan paras amaran dengan tren menaik,” katanya.