Most Read

Rais Yasin masih Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu - Ahmad Zahid

#politik #umno #ahmadzahidhamidi #raisyasin

Hajat Pejuang tak kesampaian, permohonan sertai PN ditolak

#perikatannasional #hamzahzainuddin #politik #pejuang

Keputusan Pemilihan UMNO kukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan - Anwar

#anwaribrahim #politik #pemilihanumno #kerajaan

UMNO alami perubahan, 54 muka baharu dipilih Ketua Bahagian

#umno #politik #pemilihanumno #perubahan #ketuabahagian

Fakhruddin Ariff dipilih Ketua UMNO Bahagian Pekan

#fakhruddinariff #umnopekan #najibrazak #ketuabahagian

Wan Rosdy, Khaled, Johari menang jawatan Naib Presiden UMNO

#politik #umno #wanrosdy #joharighani #khalednordin

Politik

Ahmad Zahid dedah sebab pilih PH selepas PRU15

Published: Mar 15, 2023 8:47 am . Updated:2:10 pm

KUALA LUMPUR 15 Mac - Keputusan untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyertai Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dipersetujui lebih 95 peratus pimpinan tertinggi parti itu.

 

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendedahkan ketika beliau membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, hanya dua daripada 56 ahli MKT yang membantah kerjasama berkenaan.

 

Hasil daripada mesyuarat itu, katanya, majoriti pimpinan UMNO bersetuju bahawa pembentukan kerjasama dengan PH adalah langkah tepat kerana lebih banyak mudarat jika UMNO memilih untuk bersama dengan Perikatan Nasional (PN).

 

"Dalam politik, tiada sahabat atau seteru yang kekal. Dalam keadaan itu saya melihat apakah mudarat yang lebih besar? Adakah mudarat dengan PN atau dengan PH? Bukan tentang faedah kerana faedah akan datang kemudian.

 

"Saya membentangkan perkara ini dalam Biro Politik dan MKT UMNO. Memang ada yang tak bersetuju, tapi saya ingin bercakap di sini bahawa daripada 56 ahli MKT, sama ada yang menang, yang dilantik dan yang turut hadir, hanya dua saja yang tak setuju.

 

Ertinya, lebih daripada 95 peratus bersetuju dengan cadangan yang saya bentangkan, dari segi menilai pemberatan dari skala 1 ke 10, kita lihat mudarat lebih besar kalau kita sertai PN ketika itu," katanya dalam program bual bicara Agenda Awani - Pasca 100 Hari Kerajaan Perpaduan yang disiarkan secara langsung di Astro Awani, malam tadi. 

 

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya oleh hos Nazri Kahar bagaimana membuat keputusan menongkah arus untuk bergabung dengan musuh tradisi UMNO pasca PRU15.

 

Keputusan PRU15 menyaksikan tiada mana-mana parti yang berjaya meraih sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, sekali gus menyebabkan Parlimen tergantung buat pertama kali di negara ini.

 

Situasi itu akhirnya terungkai selepas PH yang meraih 82 kerusi Parlimen membentuk kerjasama dengan BN (30 kerusi), sebelum turut disertai Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (WARISAN) dan beberapa Ahli Parlimen Bebas, membolehkan kerajaan dibentuk dengan majoriti dua pertiga.

 

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan gabungan antara UMNO dan BN dengan PH membawa manfaat besar apabila kestabilan politik berjaya dibentuk di Malaysia, selepas negara melalui tempoh kemelut politik yang menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal pentadbiran.

 

"Kita lihat selepas itu dari segi manfaatnya, kita lihat kestabilan politik. Setelah kerajaan dibentuk dengan majoriti mudah 112, akhirnya kita lihat kawan-kawan dari Sarawak, Sabah malah Ahli Parlimen Bebas menyebabkan kecukupan 148 kerusi," katanya.

 

Ditanya sama ada UMNO mampu mengembalikan undi Melayu dalam enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, khususnya ketika berdepan naratif politik Melayu-Islam dibawa PN, Ahmad Zahid menegaskan UMNO selama ini tidak pernah berkompromi untuk menggadaikan agama dan bangsa.

 

Namun, katanya, UMNO turut melihat kepentingan meraikan perbezaan pandangan dan menyantuni golongan bukan Islam secara berakhlak dalam meraikan kemajmukan yang wujud di Malaysia.

 

"Akhirnya kita lihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan sebagai seorang tokoh pembangkang selama 25 tahun, tapi kita jangan lupa sebelum itu beliau berada dalam kerajaan selama dua dekad.

 

"Jadi beliau dapat membuat perbandingan yang terbaik, bagaimanakah rupa bentuk bangsa Malaysia, sistem ekonomi dan apatah lagi dengan pembentukan sebuah negara madani, yang dulu hanya menjadi idealisme beliau, namun kini diterjemahkan dalam bentuk pentadbiran dan pelaksanaan," katanya. - Berita Harian