Dunia

(Video) Sanggup kendong ibu keliling Kaabah, tindakan lelaki bikin warganet sebak

Published: Mar 15, 2023 10:30 am . Updated:9:24 pm

KUALA LUMPUR Mac 15 - Kasih anak terhadap ibu tercinta sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Namun, sebagai seorang anak, banyak cara boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu. 

 

Baru-baru ini tular sebuah video di media sosial memaparkan seorang lelaki menggendong ibunya di belakang badan semasa melaksanakan ibadah tawaf di Masjidil Haram, Makkah.

 

Video tersebut dirakam seorang warga Turkiye dan dimuat naik di akaun Twitter @suleymanragip semasa dia menunaikan ibadah umrah.

 

Difahamkan, lelaki yang menggendong ibunya dikenali sebagai Kemal Abi, jemaah yang berasal dari Uzbekistan.

 

“Saya melihat suasana yang menarik perhatian saya di Kaabah setelah beberapa hari saya berada di sini, dan saya menggunakan telefon saya untuk merakam detik tersebut.

 

“Alangkah cantiknya anakmu.

 

“Semoga Allah kurniakan kita sifat menghargai ibu bapa kita,” ciap pemilik akaun Twitter itu. 

 

Video tersebut mengundang reaksi positif warganet termasuk pujian kepada lelaki tersebut serta mendoakan kesihatan untuk dia dan ibunya.

 

Warganet, Muhammad Nasir berkata, tidak semua sanggup melakukan perkara sama seperti Kemal dan hanya insan terpilih yang berpeluang berbakti sepenuhnya kepada ibu tercinta. 

 

"Kalau diberi peluang, saya sanggup korbankan apa saja untuk berjumpa ibu saya lagi. Kini, ibu pun sudah tiada, hanya menanggung rindu yang tiada penghujungnya," katanya. 

 

Bagi Adila Taib, tiada apa yang lebih menggembirakan selain melihat ibu bahagia biarpun terpaksa mengendong ibu tawaf di Kaabah. 

 

"Jika saya punyai kudrat, saya juga akan lakukan perkara yang sama. Semoga kita semua yang masih ada ibu bapa mempunyai kesempatan untuk membahagiakan ibu dan ayah," katanya. 

 

Sementara bagi Mustafa Adli, besar sungguh pahala seorang anak yang sanggup mengendong ibu melakukan ibadah dalam suasana sesak begitu. 

 

"Kalau dulu ibu yang kendong anak, sekarang tiba giliran anak untuk membalas jasa mereka. Semoga syurga menanti anak-anak yang berbakti kepada ibu," katanya. - Xklusif