Image Credit: Media sosial

Am

(VIDEO) Lelaki didakwa mabuk mengamuk, tumbuk pekerja restoran mamak di Cyberjaya

Published: Mar 17, 2023 12:07 pm . Updated:1:06 pm

KUALA LUMPUR 17 Mac - Tular di media sosial sebuah video yang memaparkan dua orang lelaki bergaduh dengan seorang pekerja kedai mamak.

 

Menerusi video berdurasi lebih dari seminit itu, seorang daripada lelaki itu didakwa berada dalam keadaan mabuk.

 

 

 

View this post on Instagram

A post shared by Xklusif.my (@xklusif.my)

 

Kejadian yang dipercayai berlaku di Cyberjaya itu juga memaparkan lelaki itu memukul pekerja kedai mamak itu dan merosakkan harta restoran mamak tersebut.

 

Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, dua pekerja restoran itu mendakwa dipukul selepas menegur suspek kerana mengambil lauk dengan jari.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa mendakwa, dua suspek berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

 

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek berusia 50 hingga 51 tahun berjaya ditahan di dua lokasi berasingan masing-masing awal pagi dan pagi tadi.

 

“Siasatan awal mendapati, mangsa mendakwa lebam di leher, kepala, bahu kiri dan telinga akibat dipukul suspek.

 

“Pengadu yang juga pengurus restoran mendakwa berdepan kerugian apabila peralatan kedai dirosakkan termasuk pinggan selain banyak lauk tercemar dan terpaksa dibuang.

 

“Siasatan awal mendapati, terdapat 17 orang pekerja yang sedang bertugas ketika kejadian,” katanya.

 

Katanya, siasatan juga mendapati, dua daripada suspek masing-masing pemandu pelancong dan pemandu teksi mempunyai rekod jenayah dan dadah.

 

Berang akibat ditegur, dua suspek kemudian memukul pekerja berkenaan termasuk menggunakan penyepit besi makanan menyebabkan mangsa cedera ringan.

 

Seorang warganet, Chicanoz berharap supaya ada tindakan daripada pihak berkuasa diambil terhadap insiden tersebut.

 

"Takutnya ada orang macam ini. Restoran itu ramai yang datang makan bersama dengan keluarga dan anak-anak kecil. Pleasa do something," katanya.

 

Seorang lagi warganet, T. Vinesh juga menyatakan rasa kerisauan jika kejadian tersebut betul-betul berpunca daripada kes mabuk.

 

"Mungkin ada sesuatu yang berlaku sebelum itu dan kita tidak tahu punca sebenar. Tetapi minum arak hingga jadi begitu memang tidak patut," katanya.

 

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan daripada pihak berkuasa berkaitan dengan kes tersebut. - Xklusif