Am

Tugas ahli Parlimen bukan jadi ‘Yes Man’ – Wee Ka Siong

Published: Mar 17, 2023 3:45 pm . Updated:4:25 am

KUALA LUMPUR, Mac 17 - Menjadi sebahagian daripada parti dalam kerajaan tidak bermakna seorang ahli Parlimen tidak boleh mengkritik dasar yang dirangka oleh kerajaan, kata Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong.

 

Beliau berkata, sebagai ahli Parlimen adalah menjadi kewajipan penggubal undang-undang untuk menyuarakan kebimbangan demi kepentingan rakyat.

 

“Sebagai ahli Parlimen, saya bertanggungjawab untuk (menjalankan) semak dan imbang, jika ada ruang untuk penambahbaikan.

 

“Sebagai salah satu parti yang menyokong kerajaan perpaduan, saya bertanggungjawab (menyuarakan pendapat saya). Ini adalah tugas seorang Ahli Parlimen.

 

"Saya tidak fikir kita harus datang ke sini dan menjadi ‘Yes Man’. Mesti ada semak dan imbang dalam kerajaan,” katanya menerusi Facebook.

 

Ketika ditanya wartawan tentang kenapa beliau dilihat ‘tidak mesra’ kerajaan sedangkan duduk di blok kerajaan, Wee berkata, beliau hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Ahli Parlimen.

 

Jelasnya, walaupun menyokong Kerajaan Perpaduan, tetapi bukan bermakna beliau tidak boleh bersuara demi kebaikan rakyat serta negara.

 

“Saya juga hanya memainkan peranan semak dan imbang semata-mata untuk kebaikan serta membantu kerajaan ke arah tadbir urus baik atau ‘good governance’,” katanya.

 

Sebelum ini, Ka Siong dilihat antara Ahli Parlimen yang ‘lantang’ membawa isu berkaitan rakyat termasuk isu bekalan telur dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

Malah, beliau turut mendedahkan menerima surat saman daripada pengimport telur dari India susulan kenyataan dibuat ketika mencelah pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat, baru-baru ini. –Xklusif