Am

Duda rugi hampir RM184,000 ditipu love scam

Published: Mar 28, 2023 9:49 pm . Updated:11:14 pm

KUALA LUMPUR 28 Mac - Seorang duda berputih mata apabila wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pinjaman peribadinya bernilai RM183,600 hangus ditipu 'wanita' yang dikenalinya di Facebook. 

 

Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf berkata mangsa yang berusia 55 tahun dan bekerja sebagai jurukimpal mendakwa berkenalan dengan ‘wanita’ itu yang kononnya menetap di Amerika Syarikat, Januari lepas.

 

“Mangsa yang telah kematian isteri mendakwa hubungan mereka semakin rapat sehingga mula berbincang mengenai perkahwinan.

 

“Mangsa mendakwa telah membuat pemindahan wang secara dalam talian berjumlah RM25,600 pada awal Februari lepas ke akaun diberikan suspek kononnya bagi urusan perkahwinan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

 

Ramli berkata mangsa mendakwa terus didesak supaya menambah wang bagi perkahwinan itu, menyebabkan dia membuat 10 lagi transaksi pemindahan wang ke dua akaun diberikan suspek.

 

Menurutnya mangsa hanya menyedari ditipu apabila suspek meminta tambahan RM30,000 daripadanya walaupun sebelum itu telah menyerahkan wang yang banyak, menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

 

Ramli menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan gambar profil individu cantik atau tampan di media sosial dalam memilih rakan, terutamanya daripada mereka yang mendakwa menetap di luar negara.

 

Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan nombor akaun yang diterima di semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi untuk mengelakkan daripada ditipu.